fbpx
Now Reading
Berang Ditegur, Pemilik Gerai Didakwa Campak Duit Pada Pelanggan

Berang Ditegur, Pemilik Gerai Didakwa Campak Duit Pada Pelanggan

Menurut pelanggan terbabit, pemilik gerai itu turut mengambil gambarnya kerana ingin menularkannya serta mahu membaling selipar ke arahnya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap insan digalakkan untuk sentiasa mengamalkan adab yang sopan apabila berdepan dengan individu lain.

Ini kerana, adab yang sopan dapat mencerminkan keperibadian seseorang insan terutama jika individu berkenaan sering berinteraksi dengan masyarakat contohnya peniaga.

Peniaga berang kena tegur dengan pelanggan

Baru-baru ini, tular satu video memaparkan seorang peniaga makanan di Kuala Perlis yang berang dipercayai selepas ditegur oleh pelanggannya.

Menerusi video yang dimuat naik oleh seorang individu di Twitter, awalnya kelihatan wanita itu berjalan melintas kaki sebelum menghampiri pelanggan di seberang jalan dan membaling wang kertas berjumlah RM8.

Menerusi satu tangkap layar, pelanggan itu menjelaskan pada mulanya dia ingin menukar pesanan namun pemilik kedai terbabit mengeluarkan kata-kata yang kurang disenanginya ‘awak layan mereka ni, banyak tanya sangat’.

Sifatkan layanan pemilik gerai pada pelanggan kurang sopan

Dia kemudian memerhatikan cara pemilik gerai itu melayan pelanggannya dan menyifatkan ia sangat biadap.

“Saya kemudian nak pergi bayar. Masa tunggu nak bayar tu saya tengoklah cara dia layan pelanggan lain. Harga makanan saya RM8 dan saya buat pembayaran online lepas tu masa nak tunjuk resit dekat pemilik itu dia tak pandang pun.

“Saya cakap ‘lain kali layan pelanggan elok-elok ya’ (dengan sopan) lepas tu dia terus mengamuk terpekik bagi semua orang tengok,” kata pelanggan terbabit.

Pemilik gerai baling duit kepada pelanggan

Dia kemudian kembali semula ke meja makan bersama rakan-rakan sebelum mendakwa pemilik kedai itu datang dan membaling duit berkenaan.

“Awak anak dara lagi buat perangai elok-elok sikit. Awak bayar RM8 dekat aku, awak nak cakap lebih kurang.

“Setakat RM8 awak ni, aku tak heranlah, pelanggan aku ramai lagi. Awak cakap elok aku bagi elok, awak cakap tak elok muka awak jahanam,” kata pemilik gerai itu kepada pelanggan terbabit.

Mahu ambil gambar pelanggan untuk viral

Pelanggan itu menyatakan pemilik gerai terbabit turut mengambil gambarnya kerana ingin menularkannya. Dakwa pelanggan tersebut, wanita terbabit juga ingin membaling selipar ke arahnya.

Dakwa pengguna Twitter itu, pemilik kedai berkenaan turut menghalaunya sambil memperingatkan kepada rakan-rakan lain untuk membayar makanan mereka.

“Awak pergi balik, aku tak nak tengok muka awak. Tak payah bayar pun tak apa.

“Aawak sorang je tak payah bayar (pelanggan yang menegur) yang lain bayar la ingat kedai mak bapak korang,” kata wanita itu lagi.

Individu yang memuat naik video terbabit turut menunjukkan ‘review’ yang ditinggalkan orang ramai di dalam Google yang mengatakan terdapat seorang’makcik’ yang tidak mempamerkan wajah yang manis ketika melayan pelanggan.

Tidak kurang juga ada yang menyatakan kualiti makanan juga tidak dijaga dengan baik.

Semakan kami turut menemukan satu muat naik reel di Facebook pada 4 September yang turut meminta orang ramai agar tidak berkunjung ke kedai berkenaan.

Dakwa pengguna itu, pekerja di kedai berkenaan begitu sombong dan biadap selain servis yang kurang memuaskan.

Cubaan kami untuk menghubungi pemilik kedai makanan berkenaan bagaimanapun tidak berjaya kerana nombor yang tertera di Google Review tidak lagi digunakan.

Kami akan mengemaskini artikel ini sekiranya berjaya menghubungi pemilik kedai tersebut.

Ramai yang kongsi pengalaman berdepan situasi sama di gerai terbabit

Melihat di ruangan balas, orang ramai turut berkongsi gerai terbabit hanya mendapat 1.5 bintang bagi penilaian di Google.

Tidak kurang juga ada yang berkongsi pengalaman mereka yang pernah berdepan dengan situasi yang sama.

“Ni ke kedainya?”

“Aku pernah kena, masa tu order nasi goreng seafood satu, teh o ais dengan air kosong pastu bila nak bayar aku tanyalah berapa pastu dia kata RM18. Pastu aku macam terkejutlah dengan harga tu aku tanya lagi berapa ringgit takut salah dengar..”

“Wuish aku pernah pergi kedai ni, muka memang kelat ingat dia sorang terpaling penat”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.