fbpx
Now Reading
Ini 7 Mitos Tentang Kanser Payudara Yang Patut Anda Tahu!

Ini 7 Mitos Tentang Kanser Payudara Yang Patut Anda Tahu!

Penggunaan baju dalam wanita berdawai, deodoran dan bedak merupakan antara salah satu mitos penyebab kanser payudara.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tahukah anda, bulan Oktober merupakan Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang juga dikenali sebagai ‘PinkOktober’ atau ‘Pinktober’?

Merujuk portal MyHealth, kanser payudara merupakan penyakit utama yang sering menyerang kaum wanita di mana satu daripada 19 wanita di Malaysia berisiko untuk mengalami penyakit ini.

Terdapat pelbagai faktor yang boleh menjadi punca kanser payudara. Namun, ada juga dakwaan atau mitos yang menyebabkan individu percaya bahawa penyakit ini boleh berpunca daripada perkara tertentu.

Berikut merupakan tujuh mitos tentang kanser payudara yang patut anda tahu!

#1 Kanser Hanya Serang Wanita & Golongan Berusia

Foto: Freepik

Lazimnya, kes berkaitan kanser payudara paling tinggi direkodkan dalam kalangan wanita yang berumur 50 hingga 70 tahun.

Namun, jangan tidak tahu! Kanser payudara boleh menyerang wanita yang berusia bawah 40 tahun. Menurut Pakar Bedah Payudara, Endokrin Dan Am Hospital Thomson Kota Damansara Dr. Zamzuri Zakaria, hasil kajian menunjukkan 15% pesakit kanser negara ini terdiri daripada mereka yang berumur bawah 40 tahun.

Malah, lelaki juga berisiko untuk mengalami kanser payudara walaupun kebanyakan orang mengatakan ia hanya menyerang kaum wanita sahaja.

#2 Ada Sejarah Keluarga

Foto: Freepik

Ramai yang fikir jika ahli keluarga pernah mengalami kanser, maka generasi akan datang turut berisiko untuk mengalami penyakit yang sama.

Ia hanyalah mitos semata-mata. Ini kerana 85% wanita yang dikesan mengalami kanser payudara tidak mempunyai sejarah atau faktor-faktor risiko lain. Hanya 10% hingga 15% sahaja kes melibatkan sejarah keluarga.

Faktor genetik tidak semestinya menjadi penyumbang kepada penyakit ini. Terdapat faktor lain yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kanser payu dara.

#3 Saiz Payudara Tingkat Risiko Kanser

Foto: Freepik

Ramai orang menganggap saiz payudara menjadi antara penyumbang kepada risiko meghidapi kanser payudara. Semakin besar saiz, semakin tinggi peluang untuk mengalami penyakit ini.

Hakikatnya, ia adalah salah! Ukuran saiz payudara bukanlah faktor penyebab berlakunya kanser. Memetik laporan daripada Hospital Pantai, kanser payudara berlaku apabila sel-sel mula tumbuh secara tidak normal dan bukan berpunca daripada saiz payudara.

#4 Tidak Semua Ketulan Merupakan Kanser

Foto: Freepik

Antara salah satu simptom kanser ini adalah wujudnya benjolan yang berbeza daripada tisu payudara yang lain.

Buat anda yang mempunyai benjolan, jangan panik! Cuba dapatkan rawatan dan pengesahan daripada doktor kerana ada kajian mendapati kurang daripada 15% benjolan yang dikesan di payudara bukanlah kanser.

Malah, wujud persepsi segelintir individu yang menganggap, sekiranya benjolan itu sakit, maka ia adalah kanser dan sebaliknya.

Jadi, langkah yang terbaik adalah cuba berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pengesahan lanjut.

#5 Penggunaan Coli Berdawai, Deodoran & Bedak Punca Kanser

Pemakaian baju dalam berdawai dikatakan boleh menjadi penyebab kanser kononnya menghalang pengaliran toksin.

Manakala, deodoran dan bedak didakwa mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh menyebabkan barah payudara.

Memetik Hello Doktor, terdapat kajian yang menunjukkan deodoran bukanlah penyebab kanser seperti yang didakwa oleh sesetengah orang.

Jadi, ubah kepercayaan anda kerana ia hanyalah mitos semata-mata.

#6 Mamogram Membantu Mencegah Kanser

Foto: Freepik

Ada segelintir yang menganggap ujian mamogram berupaya untuk mencegah penyakit kanser. Tanggapan ini adalah salah dan mitos semata-mata.

Ini kerana mamogram hanya berperanan untuk membantu pesakit bagi mengurangkan risiko daripada kanser payudara melalui ujian saringan awal.

Saringan ini boleh membantu mengesan kanser pada peringkat awal melalui ujian x-ray yang dilakukan kepada pesakit.

Melalui ujian ini, pesakit mungkin dapat mengelakkan daripada rawatan kemoterapi dan sebagainya jika dikesan dengan lebih awal.

#7 Kanser Bawa Maut

Foto: Freepik

Ramai yang menganggap kanser boleh membawa maut dan hanya memikirkan tentang kematian apabila menerima perkhabaran sedih ini.

Sebagai pesakit atau mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser, anda perlu berfikiran positif kerana kanser tidak membawa maut.

Jika dikesan dengan lebih awal, peluang untuk sembuh adalah tinggi. Ada kajian menunjukkan kadar kelangsungan hidup selama 10 tahun bagi kanser payudara kini mencecah 95%.

Malah, dengan kecanggihan teknologi dan rawatan yang semakin maju, ramai pesakit yang telah berjaya melawan penyakit itu.

Kesimpulannya, tidak semua perkara merupakan simptom kepada penyakit kanser payudara. Kebanyakannya hanyalah mitos semata-mata.

Apa yang penting adalah dapatkan pengesahan doktor jika anda merasakan sesuatu yang tidak kena pada payudara anda!

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.