fbpx
Now Reading
Lelaki Di Sabah Diberkas Selepas ‘Hack’ Web Kerajaan Australia & Perbankan Luar Negara

Lelaki Di Sabah Diberkas Selepas ‘Hack’ Web Kerajaan Australia & Perbankan Luar Negara

Menurut Ketua Polis Negara, semakan dan pemprofilan lanjut berserta bukti jejak kewangan mendapati sindiket ini turut terlibat dalam dua skim pelaburan tidak wujud.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

‘Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga’, begitulah nasib seorang lelaki yang sebelum ini licik dalam menggunakan bakat dan kebolehannya sebagai pembangun perisian untuk menjual ‘phishing template’ kepada scammer akhirnya diberkas polis.

Lelaki berusia 36 tahun warga tempatan yang juga ketua sindiket ‘phishing script’ dan phishing template’ itu ditangkap di Sabah dalam Operasi Khas BulletProftLink dengan kerjasama Polis Persekutuan Australia (AFP) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Isnin lalu (6 November).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sindiket yang beroperasi sejak 2015 itu berpangkalan di Sabah dan mula aktif pada tahun lalu melalui iklan yang dipaparkan di laman web BulletProftLink.

Sasaran utama sindiket melalui laman sesawang

Menurutnya, sindiket ini menyasarkan laman web rasmi kerajaan Australia, institusi perbankan di luar negara serta organisasi yang mengendalikan laman web beralamat (.gov) dan (.edu) dengan menyediakan perkhidmatan ‘phishing templates’ kepada scammer.

“Tindakan mereka turut melibatkan aktiviti transaksi jual beli maklumat identiti seperti kata laluan, maklumat perbankan, dan data peribadi yang diakses dari pelbagai negara termasuklah di Australia, Amerika Syarikat dan Malaysia.

“Semakan kami setakat ini, sejumlah 1,038 kata laluan dan nama pengguna rakyat Malaysia yang diakses secara tidak sah melalui ‘phishing template’ ini. Bagi negara luar, kita juga masih menjalankan siasatan bersama AFP dan FBI berapa ramai mangsa yang terlibat.

“Ketua sindiket ini pun didapati tidak mempunyai sebarang latar belakang pendidikan teknologi maklumat tetapi kecerdikan Tuhan bagi boleh sampai tahap tu,” katanya dipetik Kosmo semalam (8 November).

Sindiket turut terlibat dalam dua skim pelaburan tidak wujud

Menurutnya lagi, semakan dan pemprofilan lanjut berserta bukti jejak kewangan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bersama Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) mendapati sindiket ini turut terlibat dalam dua skim pelaburan tidak wujud.

Jelas Razarudin, ia melibatkan satu skim pelaburan CFG International dan satu skim pelaburan mata wang kripto iaitu ECCoin dengan menggunakan platform Huobi.

“Hasil semakan lanjut mendapati sebanyak 37 laporan polis diterima berkaitan dua skim pelaburan yang tidak wujud di atas di seluruh negara yang melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah lebih RM1.2 juta,” katanya.

Lapan suspek ditahan dalam Operasi Khas BulletProftLink

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam operasi khas ini seramai lapan suspek ditahan di beberapa lokasi iaitu di Sabah, Kuala Lumpur, Selangor dan Perak yang terdiri daripada tujuh warga tempatan dan seorang warga Thailand.

Selain itu, katanya rampasan turut dilakukan ke atas ‘server’ yang didaftarkan atas nama suspek utama di Technology Park Malaysia (TPM) yang menjadi ‘web hosting services’ kepada laman web www.bulletproftlink.com.

“Rampasan keseluruhan terdiri daripada e-wallet Cryptocurrency bernilai lebih RM965,808, pelbagai peralatan komputer, barang kemas, dokumen dan dua buah kereta.

“Dua kertas siasatan di buka di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan 15 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kes penipuan pelaburan tidak wujud,” katanya lagi.

@pdrmsia_rasmi [VIDEO PILIHAN] OP KHAS BULLETPROFTLINK: HASIL RAMPASAN Ikuti sedutan video Sidang Media Khas oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain yang memaklumkan pelbagai rampasan telah dilakukan ke atas server yang berpusat di ibu kota, antaranya e-wallet Cryptocurrency bernilai hampir RM1 juta, alatan elektronik, telekomunikasi, kad ATM, barangan kemas dan kenderaan milik ahli sindiket.

♬ original sound – PDRMsiaOfficial – PDRMsiaOfficial
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.