Bayi Palestin Baru 2 hari Dilahirkan Di Gaza Maut Selepas Dibedil Tentera Israel
Seorang lagi kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Ibrahim Dahouk turut meratapi kehilangan tangan kanannya yang terputus angkara serangan udara rejim Zionis.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang bayi yang baru dilahirkan kurang dua hari tidak sempat membesar di dunia apabila terbunuh akibat kekejaman tentera Israel di Semenanjung Gaza, Palestin.
Lebih menyayat hati, sijil kelahiran bayi itu juga tidak sempat siap dicetak dan kini harus digantikan dengan sijil kematian pula.
Tak sampai 48 jam dilahirkan, bayi maut selepas kediaman dibedil rejim Zionis
Menurut Harian Metro, kisah penuh duka itu dikongsikan sendiri oleh bapanya, Abu Umrah apabila bayi lelakinya, Yahea meninggal dunia kurang daripada 48 jam dilahirkan selepas rumah mereka di Deir al-Balah dibedil rejim Zionis, semalam (20 November).
Menurutnya, bayinya yang cedera itu berkemungkinan dapat diselamatkan jika Israel membenarkan mereka ke sempadan Rafah untuk mendapatkan rawatan selepas kesemua hospital di wilayah itu tidak lagi dapat beroperasi.
“Sijil kelahirannya belum dicetak ya Allah (tetapi) sekarang dia sudah ada sijil kematian!
“(Tetapi) Dia tidak dapat bertahan dan belum berumur 48 jam. Dia meninggal dunia, dia syahid. (Akan jadi) Salah satu burung di Syurga Insya-Allah,” rintihnya dalam rakaman video yang dikongsikan di akaun TikTok @saleh_aljafarawi.
Kanak-kanak lelaki ratap kehilangan tangan kanan angkara serangan udara Israel
Selain Abu, seorang lagi kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Ibrahim Dahouk turut meratapi kehilangan tangan kanannya yang terputus angkara serangan udara rejim Zionis.
Lebih memilukan, Ibrahim juga terpaksa menerima takdir bahawa dua lagi sepupunya telah meninggal dunia dalam serangan itu.
“Pulangkan balik tangan saya. Doktor beritahu, saya perlu keluar cepat dari Gaza untuk dapatkan rawatan lanjut dan tangan palsu,” katanya sambil menangis.
Kanak-kanak merayu agar tragedi hitam ini ditamatkan segera
Susulan itu, dia merayu agar pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang dilakukan oleh penjajah Israel ini segera dihentikan.
“Hentikan segera pembunuhan beramai-ramai ini. Apa yang saya mahukan dalam hidup ini cuma rumah kami serta dapat hidup dan berjalan bebas macam biasa,” katanya dalam video perkongsian Hani Abu Rezeq yang turut tular di semua platform media sosial.
Ini hanyalah secebis kisah duka rakyat Palestin yang ditayangkan buat tontonan dunia, namun hakikatnya lebih ramai lagi sebenarnya yang sedang menderita di sana angkara tentera penceroboh Israel itu.
Sudah puluhan ribu rakyat Palestin terbunuh
Setakat hari ini, hampir puluhan ribu rakyat Palestin telahpun terkorban selepas tentera Israel menyasarkan serangan mereka terhadap kediaman, hospital, sekolah dan kem pelarian di Semenanjung Gaza.
Daripada kesemua jumlah kematian itu, 70% daripadanya pula adalah kanak-kanak, warga emas dan wanita.
Baca Artikel Berkaitan: 12 Rakyat Palestin Terbunuh Selepas Israel Serang & Kepung Hospital Indonesia Di Gaza
Baca Artikel Berkaitan: Israel Bom 2 Sekolah Di Gaza, Lebih 200 Rakyat Palestin Terbunuh & Cedera [Video]
Baca Artikel Berkaitan: