Hampir Terlondeh, Pelajar Bantu Rakan Sekampus Berlainan Bangsa Pakai Samping Dengan Betul [Video]
Menurut Linda, perkongsian video itu hanyalah untuk mempromosikan keharmonian di kalangan pelbagai bangsa selain merasakan ia sesuatu tindakan yang perlu dicontohi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Malaysia merupakan negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan tradisi, malah kepelbagaian ini membuatkan ia unik dengan identiti yang tersendiri.
Apa yang lebih membahagiakan apabila setiap bangsa dapat hidup dengan harmoni dan menghormati adat dan agama masing-masing.
Bukan hanya itu, ia turut menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara dengan pelbagai budaya yang dibawa daripada etnik masing-masing.
Pelajar berlainan bangsa cuba pakai samping
Baru-baru ini, tular satu video di media sosial yang memaparkan seorang pelajar berbangsa Cina yang lengkap memakai baju Melayu berserta samping.
Namun di dalam video yang dikongsikan oleh @lindanne_81 kelihatan seorang pemuda yang berbangsa Melayu sedang sibuk membetulkan samping pelajar berkenaan.
Menurut Linda kejadian itu berlaku di Perpustakaan Al-Zarqali di Kolej Matrikulasi Selangor di Banting, Selangor, pada 25 November lalu.
Perasan pelajar asyik pegang samping sebelum dibantu oleh pemuda berbangsa Melayu
Memetik laporan mStar awalnya dia yang bekerja sebagai pembantu pustakawan di institut berkenaan menyedari pelajar berkenaan asyik memegang samping yang hampir terlucut sebelum ia dibetulkan oleh pemuda berkenaan.
“Perbualan kami kemudian didengari seorang pelajar Melayu yang turut berbaju Melayu warna hijau berserta samping. Pemuda Melayu itu datang dan tolong ikatkan samping dia.
“Setelah selesai, saya tanya pelajar Cina itu adakah pemuda Melayu merupakan rakannya. Rupanya mereka berdua tidak kenal antara satu sama lain pun,” ujarnya.
Pelajar sering datang pakai baju Melayu
Jelas Linda lagi pelajar berbangsa Cina itu juga sering datang ke perpustakaan dan itu bukan kali pertama dia melihat pelajar berkenaan memakai baju tradisional tersebut.
“Dia memang rajin datang ke perpustakaan dan selalu bercakap dengan saya termasuk staf lain. Saya juga pernah nampak dia berpakaian baju Melayu sebelum ini.
“Beberapa kali nampak, tapi dia pakai baju Melayu tanpa samping. Hari ini dia pakai samping,” jelasnya.
Dia juga turut menyifatkan pelajar Cina berkenaan mempunyai sifat yang rajin, beradab serta sentiasa ceria.
“Pelajar Melayu itu selalu nampak di perpustakaan… dia juga sweet dan baik. Selesai je tolong pakai samping, pelajar Cina itu mengucapkan terima kasih.
“Apabila saya tahu kedua-dua mereka bukan rakan dan tidak mengenali, saya beritahu kepada pelajar Cina itu yang dia patut berkawan dengan budak Melayu dan dia bersetuju.”
Tunjuk keharmonian yang patut dicontohi
Kata Linda tujuan dia berkongsi video tersebut adalah untuk menunjukkan keharmonian di kalangan kaum selain merasakan ia sesuatu perkara yang perlu dicontohi oleh orang ramai tanpa mengira bangsa.
“Ini terutamanya anak-anak muda. Kita perlu belajar menerima perbezaan baik daripada segi kepercayaan, bangsa, agama dan asal usul kita.
“Malaysia pernah menjadi negara yang hebat tanpa perkauman dan ketaksuban, mari kita menjadikan Malaysia kembali hebat,” ucapnya lagi.