Ayat ‘Bismillah’ Ditukar ‘Kakugo Shiro’ Dalam Mechamato Movie Versi Jepun, Ini Penjelasan Penerbit
Penerbitnya, Nizam Abd Razak berkata pihaknya baru mengetahui tentang perkara tersebut beberapa hari sebelum berlangsungnya tayangan premier movie itu tempoh hari.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Animasi Malaysia seperti Upin & Ipin, Boboiboy, Ejen Ali dan Mechamato sememangnya mempunyai kualiti tersendiri sehingga berjaya mendapat tempat di hati para penonton di luar negara.
Maka tidak hairanlah jika kebanyakan animasi ini berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti di Indonesia dan Jepun.
Mechamato Movie antara yang melakar sejarah apabila menjadi karya animasi Malaysia pertama yang ditayangkan di pawagam Jepun pada 19 Januari lalu.
Bagaimanapun, di dalam Movie Mechamato versi Jepun, ayat ‘Bismillah’ yang diucapkan oleh salah satu watak telah diganti menjadi ‘Kakugo Shiro’ sehingga menimbulkan persoalan banyak pihak.
Penerbit Mechamato Movie beri penjelasan isu ayat ‘Bismillah’ ditukar ‘Kakugo Shiro’
Susulan itu, Penerbit Mechamato Movie, Nizam Abd Razak tampil memberi penjelasan mengenai isu terbabit.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Nizam berkata pihaknya baru mengetahui tentang perkara tersebut beberapa hari sebelum berlangsungnya tayangan premier movie itu tempoh hari.
“Ramai yang bertanya tentang bahagian ‘Bismillah’ dalam Mechamato Movie versi Jepun. Dalam versi Jepun, ‘Bismillah’ digantikan dengan ‘Kakugo Shiro’ atau dalam Bahasa Inggeris ‘Prepare Yourself’.
“Tiada apa yang dapat dilakukan kerana proses recording memerlukan masa yang lama untuk diatur,” katanya.
Menurut Nizam yang juga Ketua Eksekutif Monsta, selepas mengetahui tentang hal tersebut, dia segera menghubungi pihak recording studio dan pelakon suara.
‘Kakugo Shiro’ lebih sesuai untuk penonton Jepun faham konteks
Jelasnya, ketika dia bertanya mengenai isu tersebut, mereka mengatakan penggunaan ayat ‘Kakugo Shiro’ adalah lebih sesuai agar penonton di Jepun lebih faham akan konteksnya.
“Saya faham keputusan mereka, tetapi saya juga faham adegan ini merupakan highlight dalam Mechamato Movie,” katanya lagi.
Ayat ‘Bismillah’ akan digunakan semula, tapi tak sempat untuk tayangan di Malaysia
Jelasnya lagi, penggunaan ayat ‘Bismillah’ akan dimasukkan semula dalam Mechamato Movie, namun ia tidak sempat ditukar semula bagi tayangannya di Malaysia pada 25 Januari ini.
“Ia akan kembali ke ‘Bismillah’ dalam keluaran akan datang menerusi platform yang lain,” ujar Nizam.
Monsta Studio bekerjasama dengan Aeon Entertainment Jepun
Untuk info, Monsta Studio dan Aeon Entertainment Jepun telah menjalinkan kerjasama dengan menampilkan pelakon alih suara ternama di negara Matahari Terbit itu demi tujuan pemasaran Mechamato Movie di sana.
Mechamato Movie versi Jepun menampilkan pelakon alih suara ternama seperti Ayumu Murase sebagai Amato, Yoshitsugu Matsuoka sebagai MechaBot dan Kenjiro Tsuda sebagai Jeneral Grakakus.