KKM Bakal Ambil Tindakan Terhadap Penjual ‘Energy Stick’
‘Energy stick’ ini dipercayai dijual dalam kalangan murid sekolah dengan harga sekitar RM2.50 hingga RM10.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semakin hari, kebanyakan ibu bapa akan meluahkan rasa bimbang dengan pengaruh luar yang boleh mempengaruhi perilaku anak-anak mereka terutamanya yang masih bersekolah.
Terbaharu, tular satu jenis produk jualan yang diberi nama ‘Energy Stick’ berbentuk segi empat, bersaiz seperti pemetik api dan mempunyai dua corong untuk dimasukkan ke dalam hidung.
Barangan tersebut yang semakin popular dalam kalangan pelajar sekolah itu dipercayai dijual di media sosial dengan harga sekitar RM2.50 hingga RM10.
Kesan Buruk Penggunaan ‘Energy Stick’
Produk berkenaan berfungsi seakan-akan penyedut hidung (nasal inhaler) dan didakwa boleh memberi tenaga serta kesegaran kepada pengguna.
Lebih membimbangkan lagi, ada sesetengah peniaga yang menggunakan tagline ‘Sedut dahulu, baru pergi ke sekolah’ dan ‘Sedut dulu, baru mulakan kerja’ sebagai salah satu cara untuk mempromosikan jualan.
Menerusi bebenang dimuat naik di laman X (Twitter @health_malaysia), penggunaan produk ini amat merisaukan kerana berpendapat bahawa cara untuk menggunakan ‘Energy Stick’ itu hampir sama seperti pengambilan dadah melalui hidung dengan kaedah ‘snorting’.
Dari segi psikologinya pula, tindakan tersebut bersifat negatif dan boleh menggalakkan seseorang untuk cuba menyedut bahan lain termasuklah dadah.
Pengambilan bahan kimia melalui hidung turut menyebabkan risiko kerosakan mukus dalam rongga hidung, luka, pendarahan dan jangkitan.
Alahan dan keracunan juga boleh berlaku kerana tidak mengetahui dengan jelas bahan yang digunakan.
Justeru, pihak Public Health Malaysia (PHM) meminta agar penjualan dan pembelian produk ini segera dihentikan bagi menjaga kesihatan seseorang.
Jolok hidung dan sedut‼️Ini adalah produk terbaru di pasaran yang mula popular di kalangan pelajar sekolah. Ia dijual secara berleluasa dengan harga serendah RM2.50 – RM10 sahaja.
— Public Health Malaysia (@health_malaysia) February 4, 2024
Thread. pic.twitter.com/xz3OVjWdA5
Orang Ramai Luah Rasa Bimbang Dengan Keselamatan Anak-anak
Sejak tularnya produk ini, ia secara tidak langsung telah membuatkan orang ramai terutamanya para ibu bapa mula risau sekiranya anak mereka terpengaruh dengan barangan tersebut.
Malah, ada juga seorang guru yang berkata bahawa muridnya dilihat dengan berani membawanya ke sekolah dan menyedut ‘Energy Stick’ itu ketika di dalam kelas.
“Ya, budak-budak berani bawa dan sedut dalam kelas. Bila ditegur dia kata ini bukan vape cikgu,” ujar netizen.
Susulan itu, ramai pihak yang menyebut nama Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Menteri Pendidikan Malaysia Fadhlina Sidek untuk memantau penjualan barangan berkenaan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Akan Ambil Tindakan Segera
Memetik Berita Harian, KKM menerusi menterinya Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihak mereka akan mengambil tindakan segera bagi membendung penjualan ‘Energy Stick’ ini yang semakin tular dipromosikan di media sosial.
Saya sudah awal menerima ‘alert’ ini. Langsung saya beritahu kepada Ketua Pengarah Kesihatan dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan akan aduan yang saya terima daripada sosial media. Kita (KKM) akan mengambil tindakan segera berhubung perkara itu
Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Diharapkan para ibu bapa juga dapat memantau aktiviti anak-anak serta barangan yang digunakan oleh mereka bagi mengelakkan perkara sebegini semakin berleluasa.
Baca Artikel Berkaitan: 5 Produk Kosmetik Dikesan Ada Racun Berjadual – KKM
Baca Artikel Berkaitan: KKM Haramkan Penjualan Tiga Produk Kosmetik Mengandungi Racun Berjadual
Baca Artikel Berkaitan: KKM Sahkan Bahan Beracun Dalam Kopi Panggung Al Ambiak Boleh Hentikan Jantung