Ibu Dakwa Anak Didera Guru Tadika, Siap Kongsi Bukti Video Yang Diberikan Saksi
Ibu kepada kanak-kanak terbabit mendakwa bahawa mangsa telah dikasari di kepala dan dibiarkan menangis di dalam bilik air seorang diri.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebagai ibu bapa, sudah tentu kita inginkan yang terbaik untuk anak-anak. Namun dalam isu membabitkan masa, sesetengah ibu bapa yang bekerja tiada pilihan selain menghantar anak-anak ke pusat jagaan atau asuhan sepanjang ketiadaan mereka.
Menjadi mimpi ngeri setiap ibu bapa jika anak-anak didera oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, terutamanya oleh individu yang bekerja di pusat jagaan atau asuhan, seperti guru tadika.
Baca Artikel Berkaitan: Baru Hari Pertama Dihantar, Bayi 6 Bulan Cedera Didakwa Digigit Anak Pengasuh
Baru-baru ini, tular satu hantaran di Facebook oleh seorang ibu yang dikenali sebagai Akma mendakwa anaknya menjadi mangsa dera di sebuah tadika di cawangan Semenyih.
Menurutnya, dia telah menghantar anaknya yang merupakan seorang kanak-kanak istimewa di tadika berkenaan sejak tahun lepas.
Anak Sering Meragam & Rosakkan Dinding Hanya Alasan
Akma berkata dia telah menerima satu panggilan pada 31 Januari lalu yang memaklumkan anaknya yang dikenali sebagai N, tidak mampu lagi dijaga oleh pihak tadika kerana sering meragam dan telah ‘merosakkan dinding’.
Namun begitu, dia kemudiannya mendapat tahu bahawa anaknya diminta keluar kerana menjadi salah seorang mangsa dera. Dia berpendapat alasan yang digunakan tadika hanyalah bertujuan untuk menutup isu tersebut.
“Rupanya N jelas dikeluarkan sebab dia salah seorang mangsa dera. Cepat-cepat nak tutup cerita nampaknya. Ingatkan sebab cikgu kegemaran dah kena tukar jadi punca N meragam, rupanya cikgu yang disangka kegemaran itu saka ya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Akma berkata, situasi anaknya yang masih belum bercakap seolah-olah memberi peluang kepada guru tadika untuk memukulnya. Dia walau bagaimanapun tidak mengetahui sejak bila kejadian tersebut terjadi.
Terdapat Mangsa Dera Lain
Dakwa wanita ini lagi, bukan sahaja N, malah ramai lagi termasuk kanak-kanak yang lebih kecil daripada anaknya yang turut menjadi mangsa. Dia juga mendakwa anaknya dikasari di kepala dan dikurung di dalam bilik air sehingga menangis.
“Pihak taska nampaknya jadikan CCTV sebagai marketing value je nak tarik ibu bapa. Tak pernah dipantau agaknya sehingga boleh ada cikgu gila dalam taska selama berbulan-bulan,” jelas Akma.
Namun tambah Akma, cara guru itu memukul anaknya tidak meninggalkan sebarang kesan pada tubuh badannya.
“Pandai pukul macam itu, memanglah tak akan tinggalkan tanda.”
Akma
Selain mendakwa didera secara fizikal, Akma juga mempersoalkan tentang rutin pemakanan anaknya ketika di tadika berkenaan. Katanya, N kelihatan seolah-olah kebuluran apabila setiap kali pulang ke rumah.
Dakwa Cara Mandikan Bayi Tak Sesuai
Menerusi hantaran sama, Akma turut berkongsi beberapa klip video yang menunjukkan seorang guru dipercayai berkelakuan kasar terhadap anaknya dan kanak-kanak lain.
Dalam satu klip, dia mendakwa seorang guru cuba meningkatkan suhu di termometer supaya ibu bapa akan mengambil bayi tersebut untuk dibawa balik. Dia juga kelihatan mengendalikan bayi berkenaan dengan cara yang kasar.
Menerusi satu lagi video pula, dia mempersoalkan cara seorang guru memandikan bayi.
“Tengok la dia mandikan bayi macam mcm mana. Gugur jantung parents weh. Baby lagi. Tah air masuk hidung masuk telinga. Takde hati punya orang.”
Akma
Terdapat juga video guru tersebut sedang tidur sambil didakwa membiarkan N menangis di dalam bilik air
Terima Video Dari Saksi
Orang ramai mendakwa video-video yang dikongsikan Akma merupakan rakaman panggilan video antara guru terbabit dengan teman lelakinya.
Di ruangan komen, Akma memaklumkan bahawa seorang saksi telah mencarinya kerana mengasihani N yang didera.
Tambahnya lagi, walaupun tiada kesan dipukul pada hari terakhir tadika, dia pernah menemui kesan cakar dan lebam di bahagian ari-ari anaknya sebelum itu namun hanya menganggap ia berlaku secara tidak sengaja kerana kelasakan kanak-kanak berkenaan.
Dia juga memaklumkan bahawa laporan polis telah dilakukan dan perkara tersebut kini dalam siasatan.