fbpx

Apakah Hukum Pakai Minyak Wangi Ada Alkohol Masa Solat? Ini Penjelasan UAI [Video]

Menurut Ustaz Azhar Idrus, terdapat dua pendapat ulama berhubung penggunaan minyak wangi beralkohol ketika solat.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umat pasti mengetahui arak adalah minuman beralkohol yang memabukkan dan haram di sisi Islam. Malah ia dikategorikan sebagai najis menurut majoriti fuqaha (ahli fiqah).

Justeru jika terkena pada pakaian atau anggota badan, ia perlulah dibersihkan terlebih dahulu sebelum boleh digunakan untuk bersolat.

Namun status arak yang cukup sinonim dengan alkohol menyebabkan ramai umat Islam masih keliru dengan penggunaan bahan kimia tersebut lebih-lebih lagi dalam urusan ibadah.

Ini kerana alkohol turut digunakan dalam pembuatan pelbagai lagi produk antaranya sanitizer (pembasmi kuman), ubatan dan juga minyak wangi.

Keadaan ini menyebabkan timbul persoalan sama ada penggunaan minyak wangi beralkohol semasa bersolat boleh menyebabkan ibadah seseorang itu menjadi tidak sah.

Terdapat dua pandangan ahli Fiqah

Sehubungan itu kami telah membuat carian dan menemui satu video penjelasan oleh pendakwah selebriti terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI).

Menurut UAI dalam satu sesi tazkirah yang dimuat naik pada tahun 2021, terdapat dua pendapat ulama berhubung penggunaan minyak wangi beralkohol ketika sembahyang.

Pendapat pertama adalah ianya dimaafkan mengikut syarak kerana kandungan alkohol yang terdapat pada minyak wangi adalah sangat sedikit.

Manakala bagi pendapat kedua adalah ianya tidak dimaafkan kerana kita masih mempunyai pilihan untuk menggunakan minyak wangi yang tidak beralkohol.

Justeru beliau berkata adalah terpulang kepada umat Islam sama ada mahu mengikut mana-mana pendapat memandangkan kedua-duanya itu dikeluarkan oleh para fuqaha.

Namun beliau mencadangkan pilihan terbaik iaitu menjauhi kekhilafan dengan menggunakan minyak wangi yang tidak mengandungi bahan kimia itu ketika bersolat. Sebaliknya ia boleh digunakan untuk urusan lain antaranya ke pejabat, atau ke mana sahaja.

Ada 2 jenis alkohol pada minyak wangi

Tambah UAI lagi, kedua-dua pendapat tersebut diberikan diberikan ahli fiqah terdahulu memandangkan minyak wangi pada waktu itu hanya diperbuat daripada Etanol (Ethyl) yang dikategorikan najis.

Namun pada masa kini, minyak wangi mengandungi dua jenis alkohol iaitu dari jenis Etanol dan satu lagi Metanol (Methyl).

Berbanding Etanol yang memabukkan, Metanol adalah bahan kimia yang bukan najis kerana dihasilkan dari kayu.

Tidak semua alkohol adalah arak

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada Julai 2011 juga telah memutuskan bahawa setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol, namun bukan semua alkohol adalah arak yakni najis.

Muzakarah khas yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 juga telah bersetuju memutuskan beberapa perkara lain antaranya:

  • Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
  • Alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
  • Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.