fbpx
Now Reading
Mahkamah Rayuan Perintah Kerajaan Belanda Henti Hantar Alat Ganti Jet F-35 Kepada Israel

Mahkamah Rayuan Perintah Kerajaan Belanda Henti Hantar Alat Ganti Jet F-35 Kepada Israel

Mahkamah Rendah Belanda sebelum ini memutuskan eksport senjata yang dilakukan adalah keputusan politik dan hakim tidak sepatutnya campur tangan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (12 Februari), Mahkamah Rayuan di The Hague telah memerintahkan Kerajaan Belanda (Netherlands) menghentikan penghantaran alat ganti jet pejuang F-35 ke Israel.

Keputusan mahkamah itu susulan rayuan daripada pertubuhan hak asasi manusia yang mendakwa penghantaran bahagian itu menyumbang kepada pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel di Gaza.

“Tidak dinafikan bahawa terdapat risiko jelas bahagian F-35 yang dieksport digunakan dalam pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Israel tidak mengambil kira kesan yang mencukupi terhadap penduduk awam apabila melakukan serangannya,” kata Mahkamah Rayuan di The Hague dipetik Anadolu.

Kerajaan Belanda perlu patuhi peraturan dalam tempoh 7 hari

Susulan itu, Kerajaan Belanda perlulah mematuhi peraturan berkenaan dalam tempoh tujuh hari, tetapi mereka boleh memfailkan rayuan di mahkamah tertinggi.

Kes ini dibawa oleh beberapa kumpulan, termasuk sekutu Kerajaan Belanda, Oxfam pada bulan Disember.

Ia dibawa selepas Kerajaan Belanda sebelum ini memutuskan lesen eksport bahagian F-35 ke Israel boleh diteruskan walaupun Israel sedang menyerang dan mengepung Gaza.

Dakwa Kerajaan Belanda di mahkamah adalah langkah terakhir diambil

Penasihat dasar Oxfam, Dirk Jan Jalvingh berkata, mereka terpaksa mengambil langkah terakhir iaitu mendakwa kerajaan Belanda di mahkamah bagi memastikan negara itu mematuhi peraturan di bawah undang-undang antarabangsa.

Sebelum ini, Mahkamah Rendah Belanda memutuskan eksport senjata yang dilakukan adalah keputusan politik dan hakim tidak sepatutnya campur tangan, meskipun ia mengatakan kemungkinan F-35 menyumbang kepada pelanggaran undang-undang perang.

Sekadar info, alat ganti jet pejuang F-35 milik Amerika Syarikat itu disimpan di sebuah gudang di Netherlands dan kemudian dihantar ke negara lain termasuk Israel.

Lebih 28,100 rakyat Palestin mati dalam tempoh 4 bulan

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, lebih 28,100 rakyat Palestin telah terbunuh dalam tempoh empat bulan sahaja angkara serangan rejim Zionis.

Israel mula melancarkan serangan di Gaza selepas pejuang Hamas didakwa telah membunuh kira-kira 1,200 orang rejim Zionis pada 7 Oktober 2023 selain menjadikan 253 orang sebagai tebusan.

Hamas memulakan serangan ke atas Israel selepas penceroboh itu sejak berdekad lalu sudah mula menindas dan membunuh ribuan rakyat Palestin di Gaza yang tidak bersalah.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.