Pekerja Warga Asing Utamakan Keluarga Dari Diri Sendiri, Gaji RM4,200 Tapi Bagi Keluarga RM4,000 [Video]
Pekerja buruh binaan itu juga menyatakan dia sanggup tidak membelanjakan gaji yang diterima itu untuk membeli baju dan seluar yang baru demi mengutamakan keluarga.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Malaysia merupakan antara negara yang menjadi tumpuan warga asing dari Bangladesh, Nepal, dan Indonesia untuk bekerja.
Peluang pekerjaan dan mata wang merupakan antara sebab utama mengapa kebanyakan warga asing memilih negara ini sebagai tempat mencari rezeki demi membantu ahli keluarga.
Lebih mengharukan, ada yang sanggup mengikat perut atau hidup sekadar ‘cukup-cukup makan’ meskipun mempunyai pendapatan yang tinggi demi memastikan ahli keluarga di sana berada dalam keadaan selesa dan mempunyai wang yang mencukupi.
Warga asing hanya simpan baki RM200 untuk diri sendiri
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial seorang pekerja warga asing dipercayai dari Bangladesh hanya menyimpan baki RM200 daripada pendapatannya setiap bulan untuk kegunaan sendiri.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @anuarnazif, difahamkan pekerja buruh binaan di sebuah tapak pembinaan di Johor itu meraih pendapatan sebanyak RM4,200 pada bulan tersebut.
Raut wajahnya yang gembira menerima gaji hasil titik peluhnya selama ini itu disulami dengan kata-kata yang mengharukan.
Gaji RM4,200 tapi kirim ke kampung sebanyak RM4,000
Meskipun menerima gaji yang tinggi, lelaki terbabit menyatakan bahawa wang tersebut akan dikirimkan kepada ahli keluarganya di kampung iaitu sebanyak RM4,000.
Bahkan ia tidak membelanjakan wang tersebut untuk kegunaan dirinya sendiri seperti membeli baju dan seluar yang baru.
“Satu bulan saya kerja, RM4,200 dapat. Duit ini nanti bila-bila masa sudah kirim ke kampung, saya ada RM200 sahaja.
“Tak cukup ini, semua kirim kampung. Saya tak beli baju dan seluar, semua (duit) kirim ke kampung,” katanya.
Netizen beri pelbagai reaksi, terharu dengar penjelasan lelaki terbabit
Memindai ke ruangan komen, pelbagai reaksi yang diberikan oleh orang ramai di mana rata-rata netizen sebak mendengar penjelasan pekerja warga asing itu yang mengutamakan keluarganya berbanding dirinya sendiri.
Malah ada juga yang menyatakan rasa hormatnya terhadap insan sebegini kerana jujur mencari rezeki dan setia bersama keluarga meskipun hidup berjauhan.
Tidak kurang juga segelintir netizen yang berseloroh dengan menasihati lelaki terbabit untuk tidak membazirkan wangnya di tempat yang tidak sepatutnya.
Baca Artikel Berkaitan: