fbpx
Now Reading
UMW Toyota Lancar Inisiatif Transformasi ‘Beyond Zero’, Pamer Pelbagai Kereta EV

UMW Toyota Lancar Inisiatif Transformasi ‘Beyond Zero’, Pamer Pelbagai Kereta EV

Majlis Move to Zero ini dilancarkan dengan mempamerkan pelbagai kenderaan elektrifikasi Toyota seperti Kenderaan Elekrik Hibrid (HEV), Kenderaan Elektri Bateri (BEV) dan Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api (FCEV).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pengeluar kereta terkemuka, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) pada semalam (20 Februari) telah merasmikan majlis ‘Move to Zero’ bagi mencapai matlamat global Toyota yang ingin ke arah Neutraliti Karbon menjelang tahun 2050 nanti.

Acara yang memperkenalkan inisiatif ‘Beyond Zero’ ini telah diadakan di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur bermula 20 Februari hingga 28 Februari ini.

Toyota perkenal berbagai-bagai teknologi elektrifikasi untuk masa hadapan

Majlis ini juga dilancarkan bagi mempamerkan kepelbagaian pendekatan Toyota dalam teknologi elektrik seperti Kenderaan Elekrik Hibrid (HEV), Kenderaan Elektri Bateri (BEV) dan Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api (FCEV).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang turut hadir semalam merasmikan majlis tersebut juga memuji UMWT atas komitmen yang ditunjukkan oleh syarikat itu dalam memelihara alam sekitar.

“Malaysia yang diiktiraf sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia, berada di atas landasan yang betul untuk menjadi pemimpin serantau dalam peralihan tenaga.

“Usaha inovatif Toyota dalam tenaga bersih, menerusi pendekatannya yang pelbagai, sememangnya selari dengan matlamat negara kita,” katanya.

Kami telah dijemput untuk menghadiri majlis tersebut pada hari ini (21 Februari) untuk melihat dengan lebih dekat beberapa model kenderaan neutral karbon oleh Toyota yang mungkin akan memasuki pasaran Malaysia suatu hari nanti.

Umum mengetahui, sejak tahun 2009 UMWT sudah melancarkan beberapa model kenderaan HEV seperti Toyota Prius Hybrid, Toyota Corolla Cross Hybrid yang telah berjaya terjual sebanyak 41,600 unit.

Buat pertama kali Toyota perkenal kenderaan BEV dan FCEV

Foto: BuzzKini/HairyEzreen

Namun, dalam majlis ‘Move to Zero’ ini, UMWT turut memperkenalkan buat pertama kalinya kenderaan BEV dan FCEV termasuk mempamerkan model bz4X yang bergaya, Hilux BEV yang tahan lasak dan C+pod yang mempunyai reka bentuk unik serta boleh dikatakan ‘comel’.

C+pod ini merupakan antara model yang begitu menarik pehatian kami kerana bentuknya yang ultra kompak dengan hanya memiliki dua tempat duduk yang sememangnya mesra alam.

Jika model ini dijual di Malaysia, ia pasti menjadi salah sebuah kenderaan elektrik yang paling efisyen untuk digunakan terutamanya di kawasan bandar yang sesak.

Foto: BuzzKini/HairyEzreen

Toyota perkenal model Toyota Mirai FCEV dan GranAce FCEV

Untuk kenderaan FCEV pula, Toyota telah memperkenalkan model termaju seperti Toyota Mirai FCEV, GranAce FCEV dan Hilux FCEV.

Kenderaan Fuel Cell Electric Vehicle yang dikuasakan oleh hidrogen ini menggambungkan inovasi teknologi dengan reka bentuk angin dan prestasi dinamik, menggunakan teknologi Sel Bahan Api untuk menjana elektrik daripada Hidrogen dan Oksigen.

Foto: BuzzKini/HairyEzreen
Foto: BuzzKini/HairyEzreen

SORA bas dikuasakan sepenuhnya oleh sel bahan api

Satu lagi inovasi yang mendapat perhatian kami adalah SORA iaitu sebuah bas yang dikuasakan oleh sel bahan api hidrogen seperti yang terdapat dalam kenderaan FCEV yang lain.

Model ini menampilkan keupayaan untuk menyumbang kepada masa depan automotif yang lebih bersih dan mampan.

Menariknya, kami juga berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman menaiki bas SORA yang 100% bergerak tanpa menggunakan petrol ini.

Foto: BuzzKini/HairyEzreen

Selama lebih 30 tahun, Toyota telah banyak melabur dalam teknologi sel bahan apinya yang terkemuka di dunia.  Kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen menjana tenaga elektrik menerusi tindak balas kimia antara hidrogen dan oksigen.

Kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen ini juga mempunyai kelebihan sebagai kenderaan komersial kerana ia hanya mengambil masa selama sepuluh minit atau kurang untuk mengisi semula bahan api dan mempunyai jarak pemanduan yang lebih jauh.

Secara keseluruhan, Toyota Beyond Zero ini merupakan majlis yang mempamerkan usaha UMWT untuk menuju ke arah Keneutralan Karbon dengan menawarkan pelbagai cara (multi-pathway) di mana syarikat itu bakal menyediakan pelbagai variasi pilihan kenderaan elektrik berbeza.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.