fbpx
Now Reading
Gajah Angkat Belalai Seolah Ucap Terima Kasih Beri Laluan Lintas Jalan [Video]

Gajah Angkat Belalai Seolah Ucap Terima Kasih Beri Laluan Lintas Jalan [Video]

Menurut pemilik video berkenaan, dia telah terserempak dengan kumpulan gajah itu sewaktu dalam perjalanan ke Pulau Banding di Gerik, Perak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum pasti tahu bahawa gajah merupakan antara haiwan yang paling bijak di dunia. Gajah juga adalah haiwan darat terbesar yang masih wujud.

Namun begitu, haiwan liar itu kini semakin berkurang jumlahnya serta dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) di Semenanjung Malaysia dan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 di Sabah.

Untuk makluman, gajah di Malaysia tidak boleh diimport atau dieksport melainkan atas tujuan penyelidikan atau pertukaran zoo.

‘Angkat Belalai Mungkin Tanda Ucap Terima Kasih’ – Pemilik Video

Baru-baru ini, tular satu video di TikTok yang menunjukkan sekumpulan gajah sedang melintas jalan.

Menerusi video tersebut kelihatan dua ekor gajah dewasa sedang mengapit seekor bayi gajah di antara mereka sambil melintas jalan tersebut.

Setelah melintas jalan, seekor gajah dewasa mengangkat belalainya seolah-olah mengucapkan terima kasih kepada kenderaan yang berhenti dan memberi laluan kepada kumpulannya.

Kelihatan juga seekor gajah yang tertinggal di seberang jalan dengan cepat melintas jalan sebelum ketibaan sebuah bas dari laluan bertentangan.

Kumpulan gajah itu kemudiannya masuk ke dalam kawasan hutan di sebarang jalan.

Video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok, Zul (@zuljune1) telah meraih lebih 16,000 tanda suka setakat artikel ini ditulis.

Kumpulan Gajah Ditemui Di Gerik

Zul yang merupakan seorang pemandu kenderaan berat memaklumkan bahawa dia terserempak dengan kumpulan gajah tersebut sewaktu dalam perjalanan untuk ke Pulau Banding yang terletak di Gerik, Perak.

Bagi yang tidak tahu, perjalanan tersebut menggunakan Jalanraya Timur-Barat yang menghubungkan Lunas, Kedah dengan Jeli, Kelantan.

Memandangkan sebahagian besar jalan raya itu masih dikelilingi hutan tebal, tidak terkejut jika pengguna jalan raya tersebut terserempak dengan pelbagai haiwan liar di sana.

Di ruangan komen, seorang pengguna Tiktok, Puan Jie berkata terdapat banyak populasi gajah di Gerik dan kawasan tersebut merupakan laluan mereka.

Seorang individu lain berkata dia selalu terjumpa gajah kerana seling berulang-alik antara Perak dan Kelantan. Dia juga mempercayai bahawa gajah mengangkat belalainya sebagai tanda terima kasih.

Jangan Takut Jika Terjumpa Gajah

Di ruangan komen, seorang pengguna TikTok mempercayai bahawa gajah yang dalam keadaan marah akan menegangkan telinganya. Oleh itu, mereka tidak seharusnya didekati.

Malah katanya lagi, seseorang tidak harus terlalu memandang ke arah gajah jika sedang menaiki motosikal.

Zul menerangkan bahawa pemandu kenderaan berat sememangnya sudah terbiasa terserempak dengan kumpulan gajah.

Menerusi video sama, seorang individu meluahkan rasa takut untuk pulang ke Kelantan. Dia kemudiannya dinasihati agar tidak takut dan hanya perlu menghentikan kenderaan jika ternampak gajah melintas.

Selain itu, orang ramai diingatkan agar tidak mengacau kumpulan gajah seperti membunyikan hon atau memasang lampu tinggi pada waktu malam.

Gajah Betina Tertua Jadi Ketua Kumpulan

Seperti kebanyakan kumpulan haiwan lain, gajah juga mempunyai seekor ketua yang mengetuai kumpulannya.

Seorang individu mendakwa bahawa terdapat seekor gajah yang dikenali sebagai pengasuh yang akan menjaga keselamatan kumpulannya.

Sebenarnya memang betul pun kumpulan gajah mempunyai ketuanya yang tersendiri.

Apa yang lebih menarik lagi adalah ketuanya merupakan seekor gajah betina yang paling tua berbanding gajah lain. Ia bertanggungjawab bagi mencari makanan, sumber air dan tempat yang selamat.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.