fbpx

Siapakah Aaron Bushnell, Tentera Udara AS Yang Sanggup Bakar Diri Hingga Maut Demi Palestin

Insiden tersebut telah berlaku pada Ahad lalu (25 Februari) di hadapan Kedutaan Israel di Washington, Amerika Syarikat.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sekiranya anda atau sesiapa sahaja yang anda kenali mempunyai masalah menguruskan kesihatan mental, sila rujuk SINI.


Perang yang terjadi di tanah suci Palestin masih berterusan walaupun terdapat tekanan antarabangsa supaya gencatan senjata dijalankan dan perang dihentikan.

Baru-baru ini, masyarakat dunia telah dikejutkan dengan berita seorang tentera udara Amerika Syarikat (AS) yang telah melakukan protes ke atas peperangan yang terjadi di sana.

Aaron Bushnell dilaporkan telah membakar dirinya sendiri di hadapan kedutaan Israel di Washington, AS sebagai tanda protes terhadap kematian penduduk di Gaza.

“Saya merupakan seorang tentera aktif United States Air Force dan tidak akan lagi bersubahat dengan genosid. Saya akan melakukan aksi protes yang ekstrem, tetapi dibandingkan dengan apa yang dialami oleh penduduk di Palestin di tangan penjajah, ia langsung tidak ekstrim.”

Mendiang Aaron Bushnell

Dia turut menjeritkan “Free Palestine!” beberapa kali sebelum terjatuh ke tanah, lapor New York Times.

Bushnell dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital tujuh jam setelah insiden tersebut, iaitu pada malam kejadian Ahad lalu (25 Februari).

Protes yang dilakukannya menimbulkan banyak persoalan tentang siapakah sosok tubuh yang memperjuangkan hak Palestin ini.

Bushnell Sedang Sambung Belajar Dalam Kejuruteraan Perisian

Bushnell yang berusia 25 tahun sebelum ini berkhidmat pakar operasi pertahanan siber bersama 531st Intelligence Support Squadron di Joint Base San Antonio-Lackland, Texas. Dalam satu kenyataan oleh US Air Force, dia dimaklumkan telah bertugas dengan pihaknya sejak tahun 2020.

Menerusi akaun LinkedIn, Bushnell menyatakan bahawa dia merupakan seorang jurutera perisian bercita-cita tinggi dengan pengalaman dalam pembangunan laman web dan pentadbiran sistem Linux. Dia juga ketika itu sedang mencari program SkillBridge untuk beralih dari US Air Force.

Dia sebelum ini sedang melanjutkan pelajaran peringkat ijazah sarjana muda dalam Kejuruteraan Perisian di Western Governor’s University dan dijangkakan akan tamat pengajian pada Mei 2025.

Seperti yang tertera di LinkedIn, Bushnell menamatkan latihan asas dan teknikal bersama US Air Force pada November 2020 serta mencapai ‘top of flight’ dan ‘top of class’. Ketika itu, dia menerima latihan sebagai juruteknik sistem pelanggan dan dalam keselamatan siber, serta telah menerima sijil antarabangsa CompTIA Security+.

Dibesarkan Dalam Keluarga Kristian

Sebelum memulakan perkhidmatan sebagai anggota tentera, Bushnell telah bekerja dengan satu penerbit buku Kristian dan muzik, Paraclete Press. Ibunya juga bekerja di syarikat tersebut.

Menurut The Washington Post, Bushnell telah dibesarkan dalam sebuah kumpulan agama di Orleans, Massachusetts. Dia kemudiannya meninggalkan kumpulan tersebut.

Bushnell Beri Wasiat Pada Rakan

Bushnell juga dilaporkan telah berbincang dengan beberapa orang rakan mengenai perang Palestin-Gaza dan berkongsi rasa tidak puas hati dengan fungsi AS terhadapnya.

Menurut rakan-rakannya, dia telah berpindah ke Ohio pada awal tahun untuk menyertai kursus bagi anggota tentera yang ingin meninggalkan perkhidmatan tersebut.

Seorang rakannya, Levi Pierpont, berkata walaupun Bushnell ingin keluar dari US Air Force, namun dia memutuskan untuk menghabiskan baki perkhidmatannya sehingga Mei tahun ini.

Seorang rakan lain yang tidak ingin dikenali berkata dia telah menerima wasiat dari Bushnell pada hari sama insiden tersebut. Menerusi wasiat tersebut, dia memberikan kucingnya kepada seorang jiran dan sebuah peti sejuk dipenuhi ‘root beer’ kepada rakan berkenaan.

Malah, sebelum kejadian tersebut, dia telah memuat naik satu hantaran di akaun Facebook, lapor Mirror.
“Kebanyakan dari kita gemar bertanya diri sendiri, ‘Apa akan saya lakukan jika masih hidup ketika sistem perhambaan wujud? Atau ketika Jim Crow South? Atau Aparteid? Apa yang saya akan lakukan jika negara saya menjalankan genosid?’ Jawapannya adalah, anda sedang melakukannya. Sekarang,” tulisnya di Facebook.

Bukan Kali Pertama Insiden Bakar Diri Demi Protes

Terdahulu, media melaporkan seorang individu yang membakar dirinya di hadapan Konsulat Israel di Georgia, AS. Satu bendera Palestin telah ditemui di tempat kejadian.

Walaupun memprotes serangan oleh rejim Zionis dan memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin, orang ramai diingatkan agar tidak mengambil tindakan yang boleh meragut nyawa sendiri.


Sekadar info bersama, sekiranya anda atau sesiapa sahaja yang anda kenali mempunyai masalah menguruskan kesihatan mental, hubungi nombor-nombor di bawah bagi mendapatkan bantuan:

  • Malaysian Mental Health Association (MMHA)
    +6 03 2780 6803
    E-mail: admin@mmha.org.my
    Laman web: https://mmha.org.my/
  • BEFRIENDERS
    KL: +6 03 7956 8145 (24 jam)
    Ipoh: +6 05 547 7933 (4.00pm-11pm)
    Penang: +6 04 281 5161 (3.00pm-lewat malam)
    E-Mail: sam@befrienders.org.my
    Laman web: https://www.befrienders.org.my/
  • All Women’s Action Society (AWAM) @Telenita
    +6 03 7877 0224
    E-Mail: awam@awam.org.my
    Laman web: https://www.awam.org.my
  • Talian Heal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
    Hubungi: 15555
    Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am-12.00am)
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.