fbpx

Legoland School Challenge 2024 Kembali Lagi, Pemenang Bakal Bawa Hadiah Sehingga RM100,000

Sebanyak 50 sekolah di seluruh negara akan menerima set Lego yang mengandungi 2,500 blok untuk program Legoland School Challenge yang diadakan pada tahun ini.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui kanak-kanak mempunyai imaginasi yang sangat tinggi, namun ia perlulah diasah agar perkara itu dapat dizahirkan.

Ada yang menzahirkan melalui lukisan dan tidak kurang ada juga yang menunjukkan kreativiti mereka menerusi reka cipta menggunakan kayu, tanah liat, barangan terpakai, Lego serta banyak lagi.

Malah hasil rekaan mereka juga adakalanya membuatkan golongan dewasa teruja melihat bagaimana pemikiran yang kreatif dan kritis membentuk kemahiran mereka.

Legoland Malaysia Resort lancar Legoland School Challenge 2024

Sehubungan itu, Legoland Malaysia Resort pada 24 April telah melancarkan program yang dinanti-nantikan oleh golongan pelajar iaitu pertandingan Legoland School Challenge 2024 di SK Bukit Damansara.

Pelancaran pada program kali ini lebih memberi fokus dalam memperkasakan guru serta murid untuk berjaya dalam pertandingan dan juga seterusnya.

Turut adakan bengkel untuk pelajar dan guru

Antara perkara yang menarik pada pelancaran kali ini adalah para pelajar dan guru dapat menyertai bengkel amali yang diketuai oleh pakar pembina (Master Builder) Lego dari Legoland Malaysia.

Malah ia secara tidak langsung melatih guru dan pelajar daripada 45 buah sekolah seluruh negara kemahiran serta inspirasi untuk berjaya dalam pertandingan tersebut.

Bengkel berkenaan juga memberi fokus kepada teknik pembinaan Lego untuk membina imaginasi yang kreatif dan secara tidak langsung dapat mengenal pasti masalah yang dikenal pasti oleh guru pada tahun sebelumnya.

“Bengkel Lego ini memberikan saya teknik yang konkrit untuk membantu pelajar mengatasi masalah atau cabaran yang berlaku semasa membina. Saya berasa lebih yakin untuk membimbing mereka melalui proses kreatif dalam pertandingan tahun ini,” ujar guru SK Bukit Damansara, Iznariza Che Izham yang tidak melepaskan peluang menyertai bengkel tersebut.

Jalin kerjasama dengan KPM & JPN

Pertandingan anjuran Legoland Malaysia Resort adalah kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan (KPM) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk meningkatkan lagi akses pelajar terhadap faedah STEM untuk pertandingan ini.

Sehubungan itu, 50 sekolah di seluruh negara akan menerima set Lego yang mengandungi 2,500 blok. Dengan set yang yang diberikan ini, pelajar serta guru akan memiliki alatan untuk menyertai Legoland School Challenge 2024.

Bukan hanya itu, mereka juga dapat meneroka dan menunjukkan kreativiti serta kebolehan dalam menyelesaikan masalah menerusi pemikiran kritis yang menjadi tunjang utama kepada pendidikan STEM.

Pertandingan turut dibuka di seluruh Asia Tengara

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Ithnin Mahadi pihaknya berbesar hati untuk meneruskan sokongan kepada Legoland School Challenge 2024.

“Kami percaya inisiatif ini bukan sahaja mengiktiraf sumbangan guru yang tidak ternilai tetapi juga merangkumi komitmen kami untuk menyediakan pendidikan berkualiti yang diperkaya dengan elemen STEM.

“Melalui kreativiti, inovasi dan kemahiran berfikir secara kritis cabaran ini selari dengan matlamat kami untuk meningkatkan pengalaman pendidikan untuk pelajar seluruh Malaysia,” katanya.

Negara di Asia Tenggara turut dialu-alukan sertai Legoland School Challenge 2024

Untuk membina jambatan merentasi Asia, pertandingan ini turut mengalu-alukan penyertaan pelajar di seluruh Asia termasuk China, Taiwan, India, Korea serta Jepun untuk menyertai rakan negara di seluruh Asia Tenggara.

Tumpuan ini juga dapat memberi fokus dalam memupuk kerjasama silang budaya serta membolehkan anak muda berkongsi idea menerusi ‘Dunia Fantasi’ yang menarik. Bagi penyertaan dari luar negara, Legoland Malaysia Resort menawarkan banyak inspirasi untuk membina menerusi platform media sosialnya.

Guru boleh mencari tutorial, cabaran kreatif dan banyak lagi menerusi Facebook, Instagram dan TikTok rasmi Legoland.

“Blok Lego memberi inspirasi kepada potensi tanpa had. Melalui Legoland School Challenge, kami berhasrat untuk memperkasakan pelajar dan guru.

“Melalui kemahiran yang dipupuk serta kerjasama tanpa sempadan kita dapat menyediakan generasi akan datang yang bersiap sedia dengan cabaran dan membina masa depan yang lebih baik dan lebih imaginatif,” ujar Pengarah Bahagian Legoland Malaysia, CS Lim.

Cara sertai Legoland School Challenge

  • Penyertaan Legoland School Challenge 2024 telah dibuka kepada pelajar yang berusia tujuh hingga 17 tahun bersama dua orang guru.
  • Pendaftaran secara atas talian sehingga 24 May di laman sesawang Legoland.
  • Bina kreativiti Lego anda mengikut tema “Dunia Fantasi”.
  • Hantarkan gambar, satu video dan juga deskripsi binaan Lego sebelum 21 Jun untuk memenangi hadiah sehingga RM100,000.

Untuk makluman, ketika pelancaran ini berlangsung pihak Legoland turut menunjukkan beberapa hasil binaan yang kreatif pemenang pada tahun 2023.

Malah ada binaan yang bergerak sebagai contoh kawasan perumahan di atas laut dengan ombak bergerak, hebat betul mereka.

Yelah, nak bina set-set untuk pertandingan itu memakan masa yang sangat lama, hendak pula para pelajar ini masih menjalani jadual pembelajaran seperti biasa di sekolah.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.