Kes Guru Bercinta Dengan Murid: Ini Yang Kita Tahu Setakat Ini
Pelajar lelaki berkenaan mendakwa dia dicium, dipeluk cikgu matematik itu selain terdapat kesan kemerahan pada bahagian leher sehingga menyebabkan ibunya membuat laporan polis.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila terdapat seorang pengguna di X (Twitter) membuat luahan mendakwa adiknya yang berusia 17 tahun menjalinkan hubungan dengan guru sekolahnya sendiri.
Perkara itu kemudiannya tular sehingga menjadi perhatian ramai, malah individu berkenaan turut berkongsi beberapa gambar menunjukkan perbualan antara adiknya bersama cikgu berusia 37 tahun tersebut serta memaklumkan telah membuat laporan polis.
Susulan itu, polis turut memaklumkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kes terbabit pada Disember 2023.
Keluarga dakwa anak dicabul cikgu, polis buat siasatan
Hari ini (24 Mac), polis mengesahkan pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung isu melibatkan salah laku seksual cikgu terbabit ke atas remaja sekolah menengah itu.
Jelas Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff laporan tersebut telah dibuat oleh ibu mangsa pada 12 Disember 2023 yang mendakwa cikgu terbabit mencabul anaknya sewaktu mengulang kaji pelajaran bersamanya.
“Laporan dibuat 10.30 malam oleh ibu mangsa yang mendakwa terdapat kesan kemerahan pada bahagian leher anak lelakinya berusia 17 tahun selepas mangsa pulang dari ulang kaji pelajaran matematik bersama suspek.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 12 Disember kira-kira 4.50 petang apabila mangsa yang sepatutnya pulang ke rumah sebaliknya masih bersama suspek di perpustakaan,” ujarnya, dipetik Harian Metro.
Pelajar dakwa dicium dan dipeluk guru matematik
Katanya, pelajar berkenaan mendakwa dia dicium dan dipeluk oleh cikgu berkenaan. Malah terdapat kesan kemerahan di bahagian leher pelajar tersebut dan menyebabkan si ibu lantas membuat laporan polis.
Susulan itu, pelajar lelaki berkenaaan kemudian dirujuk ke hospital untuk tujuan pemeriksaan melibatkan kesan kemerahan di lehernya.
Ujar beliau lagi, hantaran yang sohor di media sosial itu sedang disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Terhadap Kanak-kanak.
Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan.
“Siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak benar berkenaan kejadian ini.”
PIBGN sifatkan tindakan guru bercinta dengan anak murid tak patut berlaku
Sementara itu, isu ini turut mendapat perhatian pihak Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) yang menyifatkan tindakan guru yang mengajar di sekolah menengah kebangsaan (SMK) bercinta dengan pelajarnya adalah satu perkara yang pelik.
Malah ia tidak sepatutnya terjadi dan hendaklah dicegah.
Guru dah ada lima orang anak dan suami
Menurut Presiden PIBGN, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan ia kerana guru yang terlibat dalam kes itu didakwa telah mempunyai lima anak serta suami.
“Melainkan guru itu janda, mungkin boleh diberi laluan disebabkan hak kebebasan manusiawi. Tetapi oleh kerana dia masih ada suami dan anak, saya rasa perkara seperti ini tidak patut berlaku.
“Perlu dicegah, jangan dibiarkan dan diambil tindakan sewajarnya oleh kementerian atau pihak sekolah.”
PIBGN sifatkan tindakan keluarga pelajar buat laporan polis adalah wajar
Beliau turut menyifatkan tindakan keluarga pelajar berkenaan membuat laporan polis adalah satu perkara yang wajar. Ini kerana, beliau bimbang isu tersebut boleh memberi kesan emosi kepada pendidikan pelajar lelaki itu.
Dr Mohamad Ali turut memberikan cadangan agar satu pertemuan dilakukan antara guru wanita itu dengan keluarga pelajar. Selain itu, beliau turut mencadangkan untuk menghadiri sesi kaunseling supaya keduanya insaf.
Ia adalah sebagai satu peluang untuk mereka insaf dan bukan menghukum secara terus sebaliknya memberi pemulihan serta berharap ia kekal agar boleh menjadi contoh kepada semua.
Ibu maklum akan ada sesi pertemuan dengan KPM
Untuk makluman, ibu pelajar berkenaan turut memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menghubunginya untuk mengadakan sesi pertemuan selepas isu itu tular di media sosial.
“Kejadian itu berlaku sudah lama dan saya ingatkan guru terbabit sudah insaf namun tak sangka dia masih berhubung dengan anak saya.
“Selepas kisah ini tular, pihak menteri sudah menghubungi untuk mengadakan pertemuan dan Insya-Allah saya akan maklumkan fakta sebenar apa yang berlaku.”