Bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo ingin membeli sebuah kelab golf yang terletak di sebelah rumahnya dan berhasrat untuk merobohkan kelab tersebut kerana menghalang pemandangan.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Ronaldo juga sedia menawarkan lokasi baharu untuk keseluruhan bangunan kelab glof itu termasuk kawasan untuk meletakkan kenderaan.
Memastikan keluarganya dapat perlindungan privasi
Bintang Manchester United yang berusia 37 tahun itu mahu memastikan keluarganya mendapatkan perlindungan privasi apabila dia bersama pasangannya serta lima anak berpindah ke situ nanti.
Sumber rapat memaklumkan Ronaldo telah memilih rekaan moden untuk rumah idamannya itu yang turut dilengkapi dengan garaj yang mempunyai lift untuk memuatkan 30 buah kereta mewah miliknya.
Selain itu, rumah itu juga mempunyai pemandangan laut yang cantik serta dua kolam renang, dan beberapa bilik seperti pawagam mini, ruang pejabat dan spa.
Kos keseluruhan hartanah dianggarkan bernilai RM90 juta
Dianggarkan kos hartanah milik kapten Portugal itu di Quinta da Marinha, berdekatan dengan Portuguese Riviera, bahagian barat pesisir pantai Lisbon meningkat daripada 10 juta pound (RM53 juta) kepada 17 juta pound (RM90 juta).
Nilai tersebut dijangka akan terus meningkat susulan Ronaldo bakal menggunakan khidmat arkitek ternama, Vitor Vitorino untuk mereka kediaman seluas 12,000 kaki per segi yang dijangka siap awal tahun hadapan.
Pihak Ronaldo sedia mengeluarkan kos yang banyak untuk mengalihkan kelab golf tersebut, namun pemiliknya, Miguel Champalimaud belum memberikan kata putus biarpun rundingan sudah pun dilakukan antara kedua belah pihak.