Gaza Dilanda Kebuluran: AS Gesa Israel Buka Laluan Bantuan Kemanusiaan
Gaza kini dilanda kebuluran akibat terputus bantuan makanan sepenuhnya dan secara rasmi mencatat kematian kanak-kanak ke-10 akibat kelaparan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Serangan Israel ke atas tanah suci Palestin yang bermula pada 7 Oktober 2023 sudah hampir memasuki bulan kelima. Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan di Gaza memaklumkan bahawa lebih 30,000 jumlah kematian dicatatkan sejak itu.
Situasi menjadi lebih teruk buat penduduk Gaza apabila peperangan menyebabkan ketiadaan sumber asas seperti makanan, minuman dan tenaga elektrik hingga munculnya masalah kebuluran.
Pada 1 Mac, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan bahawa 10 kanak-kanak telah meninggal dunia disebabkan oleh kebuluran. Ini adalah angka yang dilaporkan secara rasmi di hospital, tetapi jumlah tidak rasmi dianggarkan lebih tinggi.
Bantuan yang disalurkan oleh masyarakat dunia bukan sahaja tidak mencukupi, tetapi mengalami masalah penghantaran apabila disekat oleh tentera Israel.
AS Cari Alternatif Pindahkan Bantuan
Terkini, Amerika Syarikat (AS) melihat kepada alternatif bantuan secara ketenteraan dan komersial agar bantuan kemanusiaan dapat disalurkan ke Gaza menerusi jalan laut.
Jurucakap Keselamatan Negara AS, John Kirby, memaklumkan bahawa lebih banyak bantuan dapat disalurkan menerusi laluan maritim, tetapi kaedah ini lebih sukar dari segi logistik.
Sebaliknya, kaedah konvensional menggunakan lori adalah cara paling cekap untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan tersebut.
“Ini akan menjadi sebahagian daripada usaha berterusan dengan rakan kongsi antarabangsa kami untuk meningkatkan jumlah bantuan menyelamatkan nyawa ke Gaza.”
Jurucakap Keselamatan Negara AS, John Kirby
Israel Digesa Perbanyakkan Lintasan
Dalam masa yang sama, AS turut menggesa Israel agar lebih banyak lintasan dibuka supaya lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada penduduk Gaza.
Israel juga digesa agar memudahkan lebih banyak trak membawa bantuan kemanusiaan masuk dan meningkatkan aliran di lintasan.
Israel kini sedang menyekat semua laluan untuk bantuan kemanusian termasuk di Rafah. Perkara ini menyebabkan Washington menggesa agar laluan bantuan kemanusian ke Gaza dibuka oleh Israel, lapor Reuters.
Oleh yang demikian, ia akan berbincang dengan rakan sejawat dari Israel dalam memastikan lebih banyak bantuan disalurkan kepada Gaza, termasuk pertemuan antara Menteri Luar Negeri AS Antony Blinken dan menteri kabinet perang Israel Benny Gantz semalam (5 Mac).
“Menteri Israel Halang Penghantaran Tepung Ke Gaza” – Matthew Miller
Menurut jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller, Washington telah menyaksikan beberapa menteri Israel dalam kerajaan yang menghalang penghantaran tepung ke Gaza.
Mereka turut dilihat menyokong penunjuk perasaan yang menghalang bantuan kemanusian dihantar ke sana.
Blinken berterus terang tentang situasi kemanusiaan yang terjadi di Gaza, serta menggambarkannya sebagai keadaan yang ‘mengerikan’. Dia juga berkata penting bagi mereka yang terlibat menjalankan tanggungjawab untuk menghantar bantuan kemanusian ke wilayah itu secepat mungkin.
Gaza kini terputus sepenuhnya daripada bantuan makanan dan dilanda kebuluran. Menurut Reuters, sebilangan kecil hospital yang masih berfungsi di Gaza dipenuhi rakyat yang tercedera, namun kini lebih banyak kanak-kanak kebuluran di sana.
Rakyat Palestin Dibunuh Ketika Cuba Dapatkan Bantuan Kemanusiaan
Pada 29 Februari lalu, media melaporkan 118 penduduk Palestin terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusian dari sebuah konvoi berhampiran bandar Gaza. Manakala lebih 250 orang tercedera.
Mereka telah dibunuh oleh tentera Israel yang melepaskan tembakan ke arah orang ramai. Israel walau bagaimanapun menyalahkan rempuhan beramai-ramai yang disebabkan oleh panik.
Perkara ini dikutuk Ketua kemanusiaan PBB Martin Griffiths dan Setiausaha Agung PBB António Guterres.
“Penduduk di Gaza yang terdesak memerlukan bantuan segera, termasuk mereka yang dikepung di utara di mana PBB tidak dapat menghantar bantuan kemanusian selama lebih seminggu.”
Kenyataan PBB
Baca Artikel Berkaitan: