Sedekah Baju Kepada Orang Yang Memerlukan Jika Tak Nak Berbogel Di Padang Masyar – Ustaz Azhar Idrus
Antara empat golongan yang tidak berbogel ketika hari kiamat adalah para Nabi dan juga individu yang mati syahid.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tidak dinafikan sebagai manusia kita tidak sempurna malah sentiasa mempunyai kekurangan dalam beberapa perkara.
Walau bagaimanapun, dalam menjadi seorang Muslim kita perlulah sentiasa berusaha untuk melakukan kebaikan serta patuh segala yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Malah sebagai hamba Allah SWT kita juga telah diberitahu mengenai Hari Kiamat di mana semua makhluk akan dibangkitkan semula untuk dihitung segala amalannya ketika hidup.
Bukan hanya itu, kita juga akan dibangkitkan dalam keadaan tidak berpakaian kecuali empat golongan antaranya adalah para nabi.
4 golongan yang tidak bertelanjang ketika di padang masyar
Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus dalam satu video yang tular di TikTok turut berkongsi empat golongan yang tidak berbogel iaitu:
- Para nabi
- Individu yang mati syahid
- Mati di dalam ihram
- Orang yang sedekahkan baju kepada orang lain.
“Para nabi tidak bertelanjang pada hari kiamat. Orang yang mati dalam ihram, bangun pakai ihram, orang mati syahid bangun pakai baju tentera mengikut zaman masing-masing,” ujarnya.
Namun orang biasa, yang tidak tersenarai dalam empat golongan itu akan dibangkitkan dalam keadaan berbogel.
“Kita telanjang, tok imam, tok siak, tok kadi juga akan dibangkitkan dalam keadaan bertelanjang.
“Kita nak ke telanjang? Jika tak mahu sedekahkan baju kepada orang lain ketika hidup.
“Dapat gaji, ambil seratus beli pakaian dan berikan kepada orang-orang yang miskin.
“Maka kita berpakaian di hari akhirat.” katanya.
Perkara yang didermakan pada hari ini akan menjadi harta diakhirat kelak
Tambahnya lagi, apa yang dipakai manusia pada hari ini akan menjadi kain buruk, apa yang dimakan dan minum akan menjadi najis.
Namun apa yang didermakan itu akan menjadi harta apabila di akhirat kelak.
“Nabi sabda apa yang kamu makan jadi tahi, apa yang kamu pakai jadi kain buruk, apa yang kamu derma jadi harta kamu sehingga hari kiamat.”
Mengintai di ruangan komen ramai yang mengajak pengguna di platform berkenaan untuk sentiasa melakukan kebaikan dan bersedekat agar ia menjadi bekalan ketika di alam sana.