Ibu Bapa Perlu Elak Lakukan 5 ‘Penipuan’ Ini Terhadap Anak-Anak
Antara perkara yang sering ibu bapa lakukan tanpa sedar adalah mengugut, menakut-nakutkan dan melakukan janji palsu dengan anak-anak.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Anak-anak merupakan amanah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada ibu bapa dan menjadi tanggungjawab kita dalam mendidik mereka sebaik mungkin.
Membesarkan anak-anak kecil semestinya bukan suatu perkara yang mudah, apatah lagi setiap individu itu lain kerenah dan personalitinya.
Walaupun dalam kelelahan ibu bapa mendidik anak-anak, jangan pula kita mengambil jalan mudah dengan ‘menipu’ mereka.
Kadang-kala ibu bapa alpa bahawa anak-anak belajar daripada setiap tutur kata dan tindakan kita sendiri. Oleh itu, ibu bapa kenalah tunjukkan pedoman yang terbaik untuk anak-anak.
Seorang Pengamal Pendidikan Awal Kanak-Kanak Bertauliah yang dikenali sebagai Ummi telah berkongsi lima jenis ‘penipuan’ yang sering dilakukan ibu bapa terhadap anak-anak mereka tanpa sedar.
#1 Ugut Akan Tinggal Jika Lambat Siap
Biasanya bila kita nak keluar mesti kita nak cepat-cepat kan agar dapat menyelesaikan secara urusan?
Namun begitu, apabila mengajak anak keluar bersama, janganlah ugut akan meninggalkan mereka sekiranya lambat bersiap.
Sebaliknya, pujuk anak agar lebih cepat bersiap dengan kata-kata semangat seperti ingin pergi berjalan-jalan, melakukan aktiviti kegemaran atau berjumpa dengan keluarga tersayang.
#2 Cakap Polis Akan Tangkap Anak
Sesetengah ibu bapa, tanpa sedar sering menggunakan taktik menakutkan atau ‘scare tactic’ terhadap anak-anak apabila mereka tidak mahu mendengar arahan.
Kebiasaannya, perkara ini akan dilakukan dengan berkata anak akan ditangkap polis atau dipenjarakan jika tidak melakukan sesuatu, contohnya “Cepat pakai seatbelt, nanti polis tangkap”.
Sebaliknya, Ummi menekankan agar ibu bapa mengingatkan anak-anak tentang batas atau ‘boundary’.
Ibu bapa juga perlu tegas dengan batas yang ditetapkan, sebagai contoh tidak akan memulakan perjalanan jika anak-anak tidak memakai tali pinggang keledar.
#3 Ugut Akan Serahkan Anak Pada Orang Lain
Mungkin disebabkan rasa geram dengan tindakan anak-anak, ada ibu bapa yang tergamak berkata akan menyerahkan mereka kepada orang lain.
Apabila anak-anak melakukan sebarang kesalahan, terangkan dengan elok mengapa perkara itu tidak seharusnya dilakukan.
Sebagai contoh, jika anak sering memukul adiknya, tunjukkan perkara positif yang boleh dilakukan menggunakan tangan seperti membelai adik, menyuap makan dan melukis.
#4 Menakut-Nakutkan Anak
Kadang-kala, dalam kemalasan ibu bapa bertelagah atau menerangkan sesuatu kepada anak-anak, ada yang memilih jalan mudah, yakni dengan menakut-nakutkan anak.
“Nanti ada hantu kejar,” merupakan ayat yang sering digunakan.
Ibu bapa perlu kreatif dalam menarik perhatian anak-anak agar mengikut permintaan kita seperti menyelitkan unsur kegirangan.
Sebagai contoh, jika ingin pulang ke rumah atau pergi ke sesuatu tempat, boleh ajak anak berlumba bersama. Jangan lupa ucapkan “Siapa sampai dulu, dia menang!” agar anak lebih teruja.
#5 Umpan Anak Dengan Janji Palsu
Akhir sekali, sesetengah ibu bapa juga sering memberi janji-janji palsu terhadap anak-anak dengan niat agar mereka melakukan sesuatu yang disuruh.
Selain daripada ibu bapa yang tidak menunaikan janji mereka, ada pula yang sering memberikan macam-macam kepada anak-anak sehingga menjadi tabiat mereka meminta-minta.
Ibu bapa perlu mengajar anak-anak erti penghargaan sejak kecil lagi dengan cara sentiasa mengucapkan terima kasih setelah mereka membantu kita.
Kadang-kala seseorang memang hanya nak dengar ucapan ‘Terima kasih’, kan?