fbpx
Now Reading
Pencil Pictures Pertaruh Gandingan Jaa Suzuran & Eyka Farhana Untuk Filem Romantik Komedi, Autumn In Wales

Pencil Pictures Pertaruh Gandingan Jaa Suzuran & Eyka Farhana Untuk Filem Romantik Komedi, Autumn In Wales

Selain itu filem arahan Rahila Ali ini turut dibarisi pelakon hebat seperti Keith Foo, Wanna Ali, Joey Daud, Amyza Adnan dan banyak lagi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bermula 24 Mac ini, Astro First akan membawakan penonton terbang menikmati keindahan negara Wales sambil diiringi ‘mood’ romantis sepanjang menonton filem romantik komedi, Autumn In Wales terbitan Pencil Pictures And Record.

Filem arahan Pengarah Rahila Ali (Ada Apa Dengan Dosa) yang menjalani sesi penggambaran di Wales, United Kingdom ini akan mempertaruhkan gandingan selebriti terkenal seperti Eyka Farhana, Jaa Suzuran, Keith Foo, Wanna Ali, Joey Daud, Amyza Adnan, Sissy Iman, Fara Mendoza, Wanns Ahmad dan Amirul Haswendy dalam menjayakan watak-watak yang digarap oleh penulis Amirul Haswendy.

Lakonan pertama Jaa Suzuran

Yang menariknya Autumn In Wales akan menjadi lakonan pertama oleh bekas penyampai radio ERA, Jaa Suzuran yang memegang watak sebagai seorang tukang cuci pinggan yang berasal dari negeri pantai timur dan bersikap ceria serta lucu.

Selain Jaa, karya ini juga akan memperlihatkan kemunculan semula pelakon kacak yang sinonim dengan karakter romantik, Keith Foo.

Keith Foo sebagai Darwish manakala Wanna Ali sebagai Marissa | Foto : Astro Shaw

Menurut Penerbit Filem Autumn In Wales, Dato’ Normashayu Puteh atau lebih dikenali dengan panggilan Ayu Puteh, filem ini bukan sekadar filem romantik biasa, sebaliknya ia turut mempertaruhkan jalan cerita yang mampu menyentuh perasaan dan dekat dengan hati penonton.

“Ia turut dihiasi dengan sinematografi menarik di Wales, yang mana kami percaya, jarang filem tempatan mengetengahkan keindahan negara tersebut, dan sedikit sebanyak mampu menyuntik keterujaan penonton yang rindukan aktiviti melancong ke negara luar dalam norma baharu sekarang ini.

Datuk Ayu Puteh dan barisan pelakon sewaktu Tayangan Perdana & Sidang Media Autumn In Wales di TGV KLCC | Foto : BuzzKini

“Kami yakin percaturan Jaa Suzuran selaku teraju utama mampu menghidangkan satu kelainan, tambahan pula wataknya mempunyai karakter tersendiri iaitu seorang yang kelakar serta sentiasa mengagungkan dialek ibundanya walau ke mana dia pergi.

“Selain itu, gandingan mantap oleh Eyka Farhana, Wanna Ali, Keith Foo serta pelakon senior Joey Daud dan Amyza Adnan turut memberi sisi berbeza yang mampu membawa gelak tawa kepada penonton,” kata Ayu Puteh.

Eyka Farhana dan Jaa Suzuran Foto : Astro Shaw

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Menerusi filem Autumn In Wales, ia menyaksikan usaha sama buat kali kedua oleh pihak Astro First bersama penerbit dan produksi Pencil Pictures And Record selepas filem Ada Apa Dengan Dosa yang ditayangkan Di Pawagam Rumah Anda, Astro First pada tahun 2020. Kami amat berbesar hati di atas kepercayaan yang diletakkan oleh penerbit terhadap keupayaan platform Astro First dalam memasarkan karya mereka kepada umum.”

Filem ini turut menampilkan lagu tema utama bertajuk ‘Pandu Lalu’, nyanyian oleh Wanna Ali, penulis lirik dan komposer oleh Shazee Ishak dan Audi Mok.

Sinopsis ringkas

Autumn In Wales mengisahkan tentang Aira (Eyka Farhana) seorang gadis manja yang menanti detik bahagia bersama tunangnya, Darwish (Keith Foo). Menjelang hari perkahwinan mereka, Aira telah pergi ke Wales untuk membuat kejutan buat Darwish. Ketika di Wales, satu insiden berlaku pada Aira dan Jaka a.k.a Jejaka Kacak (Jaa Suzuran) seorang pemuda yang berasal daripada pantai timur dan ingin memulakan hidup baru di Wales selepas berpisah dengan kekasih yang rupanya dua alam.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.