fbpx
Siti Nurhaliza bagi nasihat pada Sissy Iman

Dikritik Sehingga Menangis, Siti Nurhaliza Nasihat Sissy Iman Kental Dalam Industri Seni

“Bagi saya, semua sedia maklum cara Mas Idayu memang begitu (lantang). Juri ada penjurian dan cara masing-masing dalam menegur.” – Siti Nurhaliza

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, tular satu video di media sosial menunjukkan peserta dan penyanyi, Sissy Iman serta Naim Daniel yang menerima komen tegas dari juri, Mas Idayu dalam sebuah program realiti iaitu Famili Duo.

Komen tegas yang diberikan oleh juri yang juga penyanyi dangdut itu secara tidak langsung turut membuatkan Sissy Iman menangis ketika di atas pentas.

Namun, Mas Idayu menyifatkan komen tegas yang diberikan itu adalah cara dia menunjukkan rasa kasih sayangnya kerana beranggapan mereka mungkin akan menjadi pengganti atau pelapis di masa akan datang.

Baca artikel berkaitan: Beri Kritikan Hingga Buat Sissy Iman Menangis, Mas Idayu Dakwa Ia Sebab Sayang

Nasihat Sissy Iman perlu bersikap terbuka dan kental

Perkara itu secara tidak langsung telah menarik perhatian ramai pihak termasuklah penyanyi terkenal negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang memberi nasihat agar penyanyi wanita itu bersikap terbuka dan kental dalam industri seni.

“Untuk jadi artis, seseorang itu perlu kental dengan sepak terajang dalam industri seni hiburan,” katanya.

Memetik laporan Kosmo, pelantun lagu Anta Permana itu turut menyatakan Sissy perlu berfikiran positif dan tidak boleh berputus asa meskipun mendapat kritikan tegas dari juri semasa dalam program realiti berkenaan.

“Jangan putus asa kerana dalam industri seni, itulah sepak terajang yang perlu kita hadapi. Lagi-lagi bila terbabit dalam pertandingan yang membenarkan kita dikritik dan ditegur walaupun pedih di hati.

“Bagi saya, semua sedia maklum cara Mas Idayu memang begitu (lantang). Juri ada penjurian dan cara masing-masing dalam menegur,” jelasnya lagi.

Anggap Sissy Iman menangis kerana terkejut

Semasa ditanya berkenaan reaksi Sissy yang menangis semasa dikritik, Siti Nurhaliza menyatakan peserta Famili Duo itu mungkin terkejut dengan komen tersebut.

“Saya percaya waktu itu dia macam terkejut dan tak sangka. Insya-Allah, lama-lama rasa jauh hati dan sakit hati itu akan berlalu dengan sendiri,” ujarnya.

Nasihat adik dan kakak untuk bersedia dengan komen juri

Jelasnya, dia turut menasihatkan kakak dan adiknya, Siti Saida dan Siti Saerah yang juga peserta program berkenaan untuk bersedia dengan sebarang komen juri.

“Saya pun awal-awal lagi sudah mengingatkan kakak dan adik saya supaya bersedia serta bertabah terutama dengan komen daripada juri.

“Juri akan menegur, netizen juga akan bercakap. Jadi tenang sahaja. Janji kita perbaiki kelemahan dalam persembahan itu. Itu yang saya pesan kepada mereka,” ucapnya lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.