fbpx

Pernikahan Sabri Yunus & Angeline Tan Dipertikai, Mufti Perlis Jelaskan Ia Sah

Sebelum ini, tular di media sosial apabila terdapat ustaz yang mengatakan pernikahan pasangan pelakon Sabri Yunus dan Angelina Tan itu tidak sah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada 14 Oktober lalu, industri seni menjadi saksi penyatuan dua pelakon veteran iaitu Sabri Yunus dan juga Angelina Tan yang sah menjadi suami isteri.

Malah pasangan yang melangsungkan perkahwinan di Perlis itu turut dinikahkan oleh Mufti Perlis iaitu Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA).

Terdapat ustaz kata pernikahan tak sah, Sabri Yunus sifatkan ia dakwaan yang berat

Walau bagaimanapun, pernikahan mereka itu mendapat respon kurang menyenangkan dari seorang ustaz yang dikenali Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari yang mendakwa ijab dan kabul pasangan itu tidak sah selepas selebriti itu menjawab “saya terima seperti yang disebut” dan ia turut menjadi perhatian di media sosial.

Tidak mahu berdiam diri, Sabri Yunus kemudian turut memuat naik hantaran di Facebook rasminya menjelaskan dakwaan yang dibuat oleh ustaz berkenaan adalah berat.

“Seorang ustaz dengan jelas dan terang mengata (menuduh) pernikahan kami tidak sah, dan terus membuat kesimpulan kami akan berzina. Berat tuduhan itu.. juga dalam video yang sama dikatanya qabul yang mengelirukan.. Siapa yang keliru?

“Dalam majlis itu hanya perlu dua saksi walau hampir 25 orang yang hadir. Saksi dua orang tak keliru dan 25 hadirin juga tidak keliru,” tulisnya.

Kata aktor yang terkenal dengan watak Pok Ya Cong Codei itu, dia bukanlah seorang agamawan yang mendalami hukum hakam namun dia juga tidak terlalu jahil sehingga tidak mengetahui apa-apa.

Mufti Perlis turut jelaskan pernikahan cukup rukun

Dalam pada itu, Dr Maza menjelaskan sesiapa yang membaca hadis Nabi Muhammad SAW pasti akan mengetahui akad nikah yang dilakukan amat mudah.

“Yang penting cukup rukun, adanya ijab dan kabul. Ijab dan kabul ini maksudnya memberi satu tawaran perkahwinan dan satu pihak lagi menyambut tawaran perkahwinan itu.

“Tidak ada dalam agama ini yang kata kena satu nafas, kena hafal semula perkataan individu yang akad itu. Dikatakan aku menerima seperti mana yang telah disebutkan maka berlaku ijab dan kabul,” ujarnya dalam satu video di Facebook.

Menurutnya lagi, apa yang penting adalah ada ungkapan bernikah dengan siapa dinikahkan, pihak satu lagi menerima serta mempunyai dua orang saksi selain ungkapan yang keluarkan jelas.

Terdapat segelintir jurunikah seperti ingin mendenda pasangan

Kata beliau, adakalanya dia melihat ada yang seperti ingin mendenda pasangan yang bernikah dan perkara ini telah lama dibahaskan olehnya dalam satu artikel.

Malah beliau turut meminta agar perkara itu tidak dijadikan terlalu rumit.

“Jika lafaz itu telah sah mengapa perlu diulang, saya berharap mudah-mudah perkara ini menjadi contoh.

“Saya mengingatkan kepada jurunikah khususnya di Perlis jangan sulitkan hal yang seperti ini, yang penting mudahkan,” katanya lagi.

Selain Dr Maza, isu yang sama turut dijawab oleh Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam Maktabah Al-Bakri.

Perkara itu dijawab oleh beliau selepas menerima soalan dari orang ramai mengenai adakah sah sebuah pernikahan sekiranya pihak pengantin lelaki hanya menyebut ‘Aku terima’ sahaja tanpa menyebutkan perkataan nikah.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.