fbpx
Now Reading
Bergurau Nama Bapa Penyanyi Azmi Saat Di ASGV, Jihan Muse Tampil Mohon Maaf

Bergurau Nama Bapa Penyanyi Azmi Saat Di ASGV, Jihan Muse Tampil Mohon Maaf

Jihan Muse turut berharap agar pekara itu tidak diulangi olehnya mahupun sesiapa kerana ia bukan sesuatu patut dinormalisasikan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, pengacara program All Star Gegar Veganza (ASGV) iaitu Jihan Muse dan Nabil Ahmad telah bergurau mengenai nama bapa vokalis kumpulan Caliph Busker iaitu Azmi Saat.

Sewaktu program tersebut Jihan dan Nabil berseloroh dengan berkata, ‘Kalau satu Azmi, Azmi Saat, kalau 60 Azmi jadi apa? Azmi Minit’.

Keterlanjuran Jihan mengutarakan soalan berkenaan telah menimbulkan rasa kurang senang kerana merasakan ia bukanlah suatu perkara yang patut dijadikan gurauan.

Jihan Muse tampil mohon maaf akui diri silap

Susulan itu, pengacara dan pelawak, Jihan Muse telah tampil memohon maaf atas keterlanjurannya selain mengakui diri silap kerana tidak peka dan sensitif.

Menurut Jihan, dia juga telah berhubung secara peribadi dan memohon maaf kepada Azmi pada 16 Oktober lalu (Isnin).

“Saya telah berhubung dan memohon maaf secara peribadi dengan beliau pada hari Isnin yang lalu. Tiadalah saya berniat untuk mempermainkan nama dan menghina seperti diperkatakan.

“Namun saya akui ia adalah kesilapan dari saya sendiri kerana tidak peka dan sensitif. Begitu juga dengan gurau yang tidak bersesuaian yang telah dibuat,” tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.

Jadikan ia sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati

Ujarnya perkara itu tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa dan turut akan menjadikan apa yang telah berlaku sebagai pengajaran untuk lebih peka dan berhati-hati.

Dia dalam masa sama menerima segala teguran yang diberikan dan percaya perkara ini tidak patut dinormalisasikan.

“Diharap perkara seperti ini tidak berulang lagi baik dari saya atau sesiapa saja. Ia bukan perkara yang boleh dinormalisasikan. Semoga kami dapat menyusun skrip dengan lebih baik selepas ini.

“Teruskan menonton dan menyokong ASGV. Terima kasih.”

Azmi tak ambil hati dengan gurauan Jihan dan Nabil ketika acara ASGV

Terdahulu, Azmi Saat dalam laporan Harian Metro menyatakan dia tidak mengambil hati dengan gurauan terbabit namun gurauan seperti itu sensitif kepada masyarakat.

Waktu mula-mula Jihan cakap tu, saya berada di belakang pentas dan dapat merasakan impak di sebalik gurauan itu. Pernah terjadi sebelum ini apabila nama ayah dibawa main, maka terus jadi kecoh.

“Tapi dalam hati saya tiada rasa marah atau apa, sebab memang saya kenal Jihan. Malah, Jihan juga ada menghantar mesej kepada saya memohon maaf mengenai kesilapannya itu.

“Cuma kita perlu belajar juga, gurauan sebegitu memang sensitif dalam masyarakat kita. Malah, setiap orang bangga dengan nama ayah, jadi jika dibawa main, orang memang kurang suka,” jelasnya.

Katanya dia mengenali Jihan dan Nabil dan ia tidak menjadi masalah cuma bergurau di tempat awam pasti akan membuatkan ramai tidak suka.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.