Seorang penyanyi era 80-an ditahan pihak berkuasa selepas disyaki memukul abang iparnya di sebuah rumah flat di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.
Dalam kejadian yang berlaku pada Ahad (24 Mac), artis veteran berkenaan yang juga seorang komposer dipercayai telah memukul abang iparnya dengan menggunakan sebatang besi sehingga menyebabkan kecederaan.
Menurut Awani yang memetik sumber, insiden dipercayai berlaku akibat salah faham antara dia dan abang iparnya yang berusia 41 tahun.
“Difahamkan, telah berlaku salah faham antara mangsa dan suspek.
“Suspek kemudian bertindak memukul menggunakan besi panjang di bahagian kepala, belakang badan, mata kiri dan bahagian lain mangsa.
“Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami pendarahan di bahagian kepala dan menerima dua jahitan, bengkak mata kiri, lebam di tangan kiri dan luka di tangan kanan,” kata sumber dipetik dari Awani.
Buat laporan polis selepas dapatkan rawatan
Tambah sumber lagi, abang ipar kepada penyanyi berkenaan kemudian telah mendapatkan rawatan di hospital sebelum tampil membuat laporan polis.
“Peserta sebuah program realiti hiburan popular itu difahamkan akan direman hari ini (25 Mac),” katanya.
Sebagai info, artis veteran berusia 64 tahun itu dilaporkan pernah terpalit kontroversi pada tahun 2010 apabila perkahwinannya tidak direstui oleh ibu mertua.
Ini disebabkan jarak usia antara dia dan isterinya yang agak jauh.
Kredit foto: Freepik