Ulang Alik 152 Km Setiap Hari, Isteri Ajak Shiro Hidap Masalah Tulang Belakang & Dimasukkan Ke Hospital
Menurut Ajak, isterinya mengalami masalah tulang belakang dan tidak boleh memandu kereta seperti sebelum ini, malah doktor juga melarang dia daripada melakukan kerja berat disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap individu perlu bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan mendapatkan wang untuk membeli keperluan seperti makanan, tempat tinggal dan sebagainya.
Namun segelintir daripada kita mungkin ada yang terpaksa berulang jauh dari kawasan tempat tinggal demi mencari rezeki.
Malah ada juga yang terpaksa berulang ke tempat kerja lebih daripada 100 kilometer (km) di atas sebab tertentu.
Isteri Ajak Shiro berulang ke tempat kerja lebih 152km setiap hari
Perkara yang sama turut dilalui oleh isteri kepada pelawak dan penyampai radio Ajak Shiro, Nur Afifah Amin apabila dia terpaksa berulang ke tempat kerja lebih daripada 152 km (pergi balik) setiap hari.
Malah Ajak dalam masa sama turut berharap permohonanan isterinya yang bekerja sebagai guru untuk ditukarkan ke sekolah lain diluluskan.
Perkara ini disebabkan isterinya juga mengalami masalah tulang belakang. Menurut Ajak, isterinya perlu mengambil cuti rehat bagi tempoh dua minggu serta terpaksa menjalani fisioterapi di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, Selangor.
Lebih 5 kali permohonan tukar sekolah tak berjaya
“Isteri saya sudah membuat permohonan pertukaran sekolah lebih lima kali sejak dua tahun lalu. Namun, mereka hanya maklumkan permohonan tidak berjaya tanpa memberikan sebarang alasan.
“Sebagai suami sudah tentu saya risaukan keselamatan isteri yang berulang-alik dari Petaling Jaya ke Nilai, Negeri Sembilan selama dua tahun ini. Ditambah pula, dia kini mengalami masalah tulang belakang hingga menyebabkan dia terpaksa cuti sakit selama dua minggu dan perlu menjalani rawatan fisioterapi setiap dua hari sekali.
“Isteri saya memang tak boleh nak memandu kereta seperti dulu. Nak buat kerja berat pun doktor tak izinkan sebab bimbang akan memberi tekanan dan masalah kepada tulang belakangnya nanti.
“Saya buat hantaran di media sosial bukan sengaja nak meraih simpati, tapi sekadar nak berkongsi saja. Tak sangka pula ramai yang mengalami nasib sama, malah ada kakitangan kerajaan yang lebih dahsyat ujian yang mereka perlu hadapi apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga bertahun-tahun lamanya,” ujarnya, kepada Harian Metro.
Isteri juga lalui proses yang sama seperti orang lain
Walau bagaimanapun, jelas pelawak itu luahan yang dilakukannya sebelum ini tidak bermaksud untuk menyalahkan sesiapa tetapi sekadar berkongsi yang isterinya turut melalui proses permohonan yang sama tanpa bantuan ‘orang dalam’.
Malah ajak turut menyatakan dia telah memujuk Afifah untuk berhenti daripada menjadi guru namun itu adalah minat isterinya untuk menjadi seorang pendidik.
“Ada yang beranggapan kalau dari latar belakang artis boleh guna orang dalam untuk mendapat kelulusan. Hakikatnya isteri saya melalui proses yang sama dan menunggu kelulusan daripada pihak bertanggungjawab.
“Isteri saya mohon ini pun bersebab. Sekarang ini sudah tahap jatuh sakit. Dia pun tak naklah menyusahkan mana-mana pihak seperti tiba lewat di tempat kerja dan risau akan dikenakan tindakan tatatertib.
“Saya sudah cuba pujuknya untuk berhenti kerja, tapi ini yang dia minat. Dia masuk universiti pun sebab nak jadi pendidik, takkan saya nak halang. Cuma saya mohon permohonan terakhir yang dilakukan pada tahun ini mendapat kelulusan.”
Sebelum ini, Ajak telah meluahkan kekecewaannya menerusi media sosial berhubung permohonan pertukaran isterinya yang masih belum lulus.
Menerusi video berkenaan, Ajak turut menunjukkan keadaan isterinya yang berada di hospital selain meminta orang ramai mendoakan bidadarinya itu.