fbpx
Now Reading
Individu Berhak Dapat Pampasan 2% Jika LHDN Lambat ‘Refund’ Cukai

Individu Berhak Dapat Pampasan 2% Jika LHDN Lambat ‘Refund’ Cukai

Bayaran balik cukai LHDN perlu dilakukan dalam tempoh 90 hari dari tarikh akhir e-filing dan 120 hari bagi borang manual.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bagi mereka yang bekerja, pasti telah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tujuan percukaian.

Mungkin ada juga sesetengah daripada anda yang telah melakukan Potongan Cukai Bulanan  (PCB), yakni potongan pendapatan untuk bayaran cukai pendapatan tahun semasa. Melalui PCB, majikan akan memotong gaji yang dibayar terus kepada LHDN.

Namun begitu, PCB kebiasaannya akan dibayar melebihi jumlah cukai. Anda boleh mendapatkan ‘penjimatan’ ketika memfailkan (e-filing) pendapatan, yang mana menerusi pelepasan cukai bagi perbelanjaan yang dibenarkan dan juga rebat cukai.

Sekiranya jumlah cukai yang perlu dibayar setelah pelepasan dan rebat cukai kurang berbanding PCB, pekerja boleh memohon bagi pemulangan cukai.

Pampasan 2% Jika Lewat Bayar Balik 90 Hari Lepas e-Filing

Bagaimana pula jika bayaran balik cukai lewat dilakukan oleh pihak LHDN? Seorang pengguna laman X, Azrul (@AzrulIzzaham), menjelaskan bahawa sejak tahun 2013, LHDN akan membayar pampasan sebanyak 2% daripada jumlah bayaran balik yang tertera kepada beberapa syarat.

Perkara ini adalah berdasarkan kepada Seksyen 111D Akta Cukai Pendapatan 1967, yang menetapkan pampasan perlu dibayar jika bayaran balik dibuat setelah 90 hari dari tarikh akhir e-filing.

LHDN mempunyai tempoh 120 hari bekerja untuk membuat bayaran balik bagi serahan borang manual.

Azrul berkata, bagi melayakkan individu mendapat pampasan tersebut, borang perlu dihantar sebelum 30 April untuk pekerja dan 30 Jun bagi perniagaan Enterprise. Bagi perniagaan Sdn Bhd dan Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT), borang perlu dihantar dalam tempoh tujuh bulan dari penutupan akaun tahunan.

Malah, pampasan tetap boleh diterima jika borang dihantar dalam tempoh tambahan yang dibenarkan, iaitu 15 Mei bagi pekerja, 15 Julai bagi perniagaan dan bulan kelapan bagi Sdn Bhd serta PLT.

Pembayaran balik cukai bukan sahaja dibenarkan bagi PCB, tetapi turut merangkumi Notis Bayaran Ansurans (CP500) dan pembayaran anggaran cukai (CP204).

Individu perlu mengisi segala maklumat dalam borang dengan betul bagi layak mendapatkan pampasan bayaran balik cukai.

Tidak Terima Pampasan Jika Tak Penuhi Syarat

Menurut Azrul, individu mungkin akan menjadi tidak layak mendapatkan pampasan tersebut jika tidak memenuhi kesemua syarat di atas.

Selain itu, individu juga boleh menjadi tidak layak mendapat pampasan atas sebab-sebab berikut:

  • Bayaran dibuat di bawah anggaran cukai.
  • Pernah membuat permohonan dan diluluskan tambahan masa bagi penghantaran borang cukai.
  • Pernah melakukan permohonan rayuan taksiran semula.
  • LHDN menemui cukai tambahan berdasarkan kepada penemuan ketika audit.
  • Lebihan bayaran wujud bukan sebab jadual ansuran cukai seksyen 107, 107B dan 107C.

Pengiraan Bayaran Pampasan

Walaupun dikatakan pencukai akan mendapat pampasan 2%, namun Azrul menerangkan bahawa ia bukanlah dikira secara langsung daripada jumlah bayaran balik.

Sebaliknya, pengiraan dilakukan dengan mengambil kira jumlah hari pembayaran lambat dibuat dari tarikh 90 hari selepas e-filing atau 120 hari bagi borang manual.

Sebagai contoh, tarikh akhir penghantaran borang e-filing adalah pada 15 Mei, dan bayaran balik sepatutnya dibuat sehingga 13 Ogos. Jika pembayaran dibuat pada 1 September, jumlah hari layak pampasan adalah 19 hari bermula 14 Ogos.

Pengiraannya bagi bayaran balik sebanyak RM1,000 adalah seperti berikut:

RM1,000 x (19/366) X 2% = RM0.49

Secara umumnya, amaun bayaran balik yang lebih tinggi dan lebih lewat bayaran dilakukan akan meningkatkan jumlah pampasan diterima.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.