fbpx
Now Reading
Notis Larang Jual Makanan Sebelum 3 Petang Hanya Untuk Peniaga Beragama Islam

Notis Larang Jual Makanan Sebelum 3 Petang Hanya Untuk Peniaga Beragama Islam

Majlis Daerah Perak Tengah memaklumkan surat seperti itu dikeluarkan setiap tahun apabila tiba bulan Ramadan dan ia ditujukan buat peniaga makanan yang beragama Islam.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, Majlis Daerah Perak Tengah (MPDT) telah mengeluarkan satu notis larangan perniagaan makanan sebelum 3 petang di sepanjang bulan Ramadan.

Menerusi notis tersebut mana-mana pengusaha makanan yang melanggar arahan berkenaan boleh dikenakan denda sebanyak RM2,000 atau penjara tidak melebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Notis berkenaan bagaimanapun telah mengakibatkan kekeliruan apabila para peniaga menyangkakan ia diguna pakai kepada semua peniaga makanan.

Namun, terbaharu yang Dipertua MDPT, Mohd Syukri Azaari berkata satu notis pembatalan telah dikeluarkan oleh pihaknya, berkuat kuasa pada Khamis (31 Mac) selepas timbul salah faham di kalangan warganet dan masyarakat umum berkenaan notis tersebut.

“Surat seumpama ini dikeluarkan setiap tahun oleh pihak MDPT sempena ketibaan bulan Ramadan yang ditujukan kepada pengusaha premis makanan beragama Islam dan tidak melibatkan mereka yang bukan beragama Islam,” katanya dalam kenyataan semalam (4 April).

Tambahnya, pihak MDPT turut memohon maaf di atas sebarang kekeliruan yang dialami oleh mana-mana pihak berkenaan surat tersebut.

Mohd Syukri bagaimanapun menasihati kesemua pengusaha premis makanan serta pelanggan untuk menghormati sensitiviti masyarakat tempatan ketika menjalani ibadah puasa sewaktu dalam bulan mulia ini.

Semalam, telah tular di media sosial berkenaan satu ciapan di Twitter oleh seorang individu yang bukan beragama Islam, apabila dia tidak dibenarkan untuk makan di sebuah restoran sebelum pukul 3 petang dan merasakan perkara tersebut adalah suatu yang tidak adil bagi penganut agama lain.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.