Terlepas Tuduhan Mengedar Dadah, Yasin Bebas Dari Hukuman Gantung
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman akhirnya menarik nafas lega apabila terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini (6 Julai) membuat keputusan melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja.
Ia sebaliknya diganti dengan tuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan dituduh mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan sekiranya didapati bersalah.
Sewaktu prosiding yang berlangsung di Mahkamah Majisret itu, Pengarah Pendakwaan Selangor, Khairul Azreem Mamat memohon agar dia dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dan dituduh semula bagi pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen.
Difahamkan permohonan itu tidak dibantah oleh kesemua peguam yang mewakili Yasin iaitu Ariff Azami Hussein, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Azizul Syariman Mat Yusoff.
Menerusi laporan mStar, Yasin atau nama penuhnya Muhammad Yasin Sulaiman melahirkan rasa syukur dengan keputusan tersebut dan merasakan ia adalah satu perkembangan positif bagi dirinya.
“Alhamdulillah, saya baik… Saya ikut segala proses dan peruntukan undang-undang dan saya amat bersyukur dengan keputusan ini.
“Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya kepada rakan dan keluarga yang banyak memberikan sokongan, merekalah sumber kekuatan utama saya,” katanya kepada media di pekarangan mahkamah.
Terdahulu Yasin didakwa mengedar dadah jenis ganja seberat 214 gram di rumahnya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara pada jam sekitar 5.30 petang, 24 Mac yang lalu.