fbpx
Now Reading
Kanak-kanak 9 Tahun Maut Dirempuh Hilux Ketika Melintas Jalan

Kanak-kanak 9 Tahun Maut Dirempuh Hilux Ketika Melintas Jalan

Mangsa yang ingin melintas jalan pulang ke rumah dikatakan terus berlari dan melintas di hadapan Toyota Hilux menyebabkan pemandu tidak dapat mengelak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun maut apabila dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda di KM 83 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Peria, Manek Urai pada petang semalam (18 Julai).

Mangsa yang dikenali sebagai Mohammad Elis Adam Abdullah dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaaan parah di kepala manakala pemandu Toyota Hilux, seorang warga emas berusia 66 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux berkenaan dalam perjalanan ke Kota Bharu dari arah Gua Musang.

Mangsa terus berlari dan melintas

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang berada di bahu kiri jalan dipercayai dari kedai ingin pulang ke rumahnya di seberang jalan, dikatakan terus berlari dan melintas di hadapan Toyota Hilux berkenaan.

“Oleh kerana jarak terlalu dekat, pemandu Toyota Hilux tidak sempat mengelak dan menekan brek lalu melanggar mangsa yang pada ketika itu sedang melintas.”

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad

Kata Suzaimi, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat.

Kes juga akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Kredit gambar: Facebook IDKK

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.