fbpx
Now Reading
“Merempit Dilarang Dalam Syariat Islam & Merupakan Satu Dosa” – Mufti Pulau Pinang

“Merempit Dilarang Dalam Syariat Islam & Merupakan Satu Dosa” – Mufti Pulau Pinang

Beliau turut berpendapat bahawa denda mengenai kesalahan trafik harus dinaikkan agar pengguna jalan raya lebih berhati-hati

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Islam menuntut umatnya agar mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan oleh kerajaan demi menjaga keselamatan diri dan orang di sekeliling.

Menurut laporan Sinar Harian, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Islam turut mewajibkan umatnya menjaga nyawa sebagai salah satu matlamat utama di dalam maqasid syariah.

Selain itu, beliau berkata, umat Islam dilarang daripada melakukan sebarang perkara yang mampu memudaratkan diri dan orang lain.

Jalan raya milik umum, bukan hak individu

“Jalan raya adalah milik umum, bukan hak mana-mana individu. Oleh itu semua orang hendaklah mengikut undang-undang dan peraturan lalu lintas yang ditetapkan oleh kerajaan yang mana, ia bertujuan untuk memelihara keselamatan dan memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.

“Saya amat kesal, kecewa dan sedih apabila mendapati kemalangan jalan raya di negara kita sejak kebelakangan ini semakin meningkat dengan begitu ketara. Banyak nyawa manusia terkorban dan cedera sehingga hilang keupayaan secara kekal sepanjang hayat.

“Dilihat daripada perspektif agama Islam, setiap warganegara wajib mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya selain memelihara nyawa sebagai salah satu matlamat utama di dalam maqasid syariah,” katanya.

Kata Wan Salim, kegiatan merempit sememangnya menyusahkan dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Merempit dilarang dan merupakan satu dosa

“Perbuatan (merempit) ini dilarang di dalam syariat Islam dan merupakan satu dosa. Memandangkan semakin kerap berlaku kemalangan jalan raya yang disebabkan kegiatan mat rempit, saya rasa sudah sampai masanya pihak berkenaan menyemak semula undang-undang dan peraturan lalu lintas sedia ada.”

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

Menurutnya, ia termasuklah memperketatkan lagi syarat untuk mendapatkan lesen memandu dan had umur untuk kelayakan memandu juga mungkin perlu diperhalusi.

Wan Salim turut berpendapat bahawa denda mengenai kesalahan trafik harus dinaikkan agar pengguna jalan raya lebih berhati-hati.

“Saya juga berharap ibu bapa dan para pemimpin masyarakat saling memainkan peranan dalam menasihati anak-anak muda supaya mengelakkan diri daripada kegiatan tidak berfaedah, sia-sia dan merbahaya seperti merempit,” ujarnya lagi.

Terdahulu, satu kemalangan maut dilaporkan berlaku di Pulau Pinang yang disebabkan oleh aktiviti lumba haram oleh sekumpulan penunggang motosikal.

Menurut kenyataan polis, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.