fbpx
Now Reading
Minta Rasuah & Ugut Pasangan Kekasih Didakwa Khalwat, 2 Polis Bantuan Di JB Ditahan

Minta Rasuah & Ugut Pasangan Kekasih Didakwa Khalwat, 2 Polis Bantuan Di JB Ditahan

Kedua-dua suspek mengugut pengadu agar memberikan mereka wang RM500 sebagai ganjaran agar pengadu dan teman wanitanya tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Dua polis bantuan di sebuah pusat beli belah di Johor Bahru ditahan selepas dipercayai memeras ugut sepasang kekasih yang dikatakan berkhalwat.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat, kedua-dua anggota polis bantuan tersebut, masing-masing berusia 25 dan 32 tahun telah ditahan oleh pihak berkuasa pada jam 9 malam tadi (7 Ogos) selepas satu laporan yang dibuat oleh mangsa yang berusia 25 tahun.

Dalam insiden yang berlaku pada Jumaat (5 Ogos) sekitar jam 10 malam itu, pasangan kekasih itu difahamkan telah didatangi oleh kedua-dua suspek selepas dipercayai berkhalwat di dalam kereta pengadu di belakang bangunan pusat beli belah berkenaan.

Kedua-dua suspek kemudiannya meminta wang RM500 sebagai ganjaran agar mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Mangsa tidak cukup wang tunai, suspek minta kad ATM dan pin

Namun disebabkan mangsa tidak mempunyai wang tunai yang mencukupi, kedua-dua individu itu telah memintanya agar menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) beserta nombor pin agar suspek dapat mengeluarkan sendiri wang tersebut di mesin ATM.

Pengadu akhirnya dilepaskan namun dia terkejut apabila mendapati terdapat pengeluaran wang yang lebih dari akaunnya.

“Setelah itu pengadu dilepaskan namun pengadu telah menerima pesanan ringkas melalui telefon bimbit daripada pihak bank bahawa ada pengeluaran wang sebanyak RM1,000 dari akaunnya,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Wang RM1,000 dirampas dan suspek direman selama 4 hari

Ekoran dari penahanan tersebut, polis turut merampas wang RM1,000 dari kedua-dua suspek yang dikategorikan sebagai barang kes.

Kedua-dua mereka turut ditahan reman selama empat hari bermula 7 Ogos mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-218 2323 atau Pegawai Penyiasat Kanan S.Sivakumaran di talian 019-5127410.

“Jika disabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut.”

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.