fbpx
Now Reading
Kotor & Menjijikan! DBKL Arah Pusat Sembelihan Ayam Ditutup
Pusat sembelihan ayam kotor

Kotor & Menjijikan! DBKL Arah Pusat Sembelihan Ayam Ditutup

Pusat penyembelihan ayam itu turut didapati meletakkan atau memproses ayam mentah di atas lantai.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan sebuah pusat penyembelihan ayam di Desa Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur ditutup selepas mendapati keadaan pusat tersebut berada dalam keadaan kotor dan menjijikan.

Tindakan itu diambil dalam satu operasi yang dilakukan oleh DBKL bersama dengan agensi sahabat iaitu Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL), Indah Water Konsortium (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang melibatkan seramai 21 anggota, semalam (13 September).

Lantai dan dinding untuk sembelih ayam kotor

Foto: FBDBKL

Dalam satu hantaran yang dimuat naik DBKL di Facebook, hasil pemeriksaan mendapati lantai dan dinding di ruang proses berkarat, berlumut, berdaki hitam serta kotor kerana aktiviti sembelihan ayam.

Bukan itu sahaja, semua pengendali makanan di premis terbabit juga tidak mendapatkan suntikan tifoid serta gagal mempamerkan dokumen pengenalan kerana hampir semua pekerja merupakan warga asing.

Tiada sistem penapisan sisa efluen, letak ayam atas lantai

Selain itu, premis berkenaan turut tidak mempunyai sistem penapisan sisa efluen yang menyebabkan hasil aktiviti penyembelihan ayam seperti darah akan terus dialirkan ke saliran atau longkang awam.

“Meletakkan atau memproses ayam mentah di atas lantai selain mendapati tandas kotor dan tiada kelengkapan asas,” tulisnya di dalam hantaran tersebut.

Premis diarah tutup, dua kompaun dikeluarkan

Foto: FB DBKL

Sehubungan itu, sebanyak dua kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil 23(3)(b)- UUK Pelesanan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 serta Seksyen 47(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“Amaran dan nasihat berhubung kehendak-kehendak kesihatan yang perlu dipatuhi telah diterangkan kepada pelesen atau pekerja.

“Notis Perintah Penutupan Di bawah Akta Makanan 1983 bagi tujuan pembersihan dan penambahbaik berkuatkuasa pada 13 September dan pemerikasaan susulan turut akan dijalankan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, JASWPKL turut mengambil sampel air untuk dianalisa dan Penahanan Operasi Kelengkapan Di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta 127.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.