fbpx

PRU15: Calon Yang Bertanding Di Pulau Pinang Dilarang Sampaikan Khutbah Jumaat

Menurut Yang Dipertua MAINPP itu, khutbah Jumaat hanya akan disampaikan oleh khatib yang dilantik dengan menggunakan teks dari JHEAINPP.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Calon beragama Islam yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pulau Pinang tidak dibenarkan untuk menyampaikan khutbah Jumaat di semua masjid negeri itu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, ia bagi mencegah institusi masjid dicemari selain mengelakkan tercetusnya suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.

Bimbang khatib ‘naik sheikh’ terpengaruh dengan politik

“Ini kerana kita bimbang ada dalam kalangan mereka (khatib) yang ‘naik sheikh’ kerana terpengaruh dengan keadaan yang berlaku di luar masjid hingga terbawa-bawa ke atas mimbar.

“Justeru, kita tidak menggalakkan individu dari luar atau mana-mana parti politik untuk menyampaikan khutbah terutamanya dalam musim kempen PRU-15 ini,” katanya.

Parti politik mohon benarkan calon bertanding sampaikan khutbah

Menurutnya, kenyataan itu diberikan bagi mengulas permohonan dari parti politik kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) untuk membenarkan calon yang bertanding pada PRU15 menyampaikan khutbah Jumaat.

Tambah Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang itu, khutbah Jumaat hanya akan disampaikan oleh khatib yang dilantik dengan menggunakan teks dari JHEAINPP.

“Dalam pada itu, pentadbir semua masjid juga dinasihatkan supaya memastikan aktiviti kuliah serta ceramah di masjid mesti dielakkan sebarang unsur politik yang boleh mencemar dan mencetuskan suasana tidak harmoni,” katanya.

Masjid di Pulau Pinang harus patuh garis panduan

Pada masa sama, Ahmad Zakiyuddin turut mengingatkan semua masjid di Pulau Pinang agar sentiasa mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.

“Dalam enakmen kita serta kaedah-kaedah dan peraturan, ada kesalahan berkenaan, jadi ketidakpatuhan dalam penyampaian khutbah, ceramah serta kuliah ini boleh dikenakan denda yang tertentu bersabit dengan kesalahan berikut.”

Tegasnya, memasang bendera, kain rentang dan poster di pagar atau dalam kawasan masjid oleh mana-mana parti politik juga dilarang kerana ia merupakan satu kesalahan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.