fbpx
Now Reading
Pukul, Hempas & Goncang Badan, Pengasuh Dipercayai Dera Bayi 4 Bulan Hingga Koma

Pukul, Hempas & Goncang Badan, Pengasuh Dipercayai Dera Bayi 4 Bulan Hingga Koma

Difahamkan, bayi terbabit baru sahaja dimasukkan ke pusat jagaan kanak-kanak itu selama tiga hari sebelum kejadian tersebut belaku.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kesibukan kerja demi mencari wang buat menyara keluarga menyebabkan kebanyakan ibu bapa perlu meletakkan kepercayaan dengan menghantar anak-anak ke pusat asuhan.

Namun pasti luluhnya hati dan hancurnya kepercayaan itu apabila mengetahui pengasuh yang sepatutnya menggalas tanggungjawab menjaga anak mereka dengan penuh kasih sayang telah melakukan perkara yang sebaliknya.

Bayi lelaki koma dipercayai didera pengasuh

Begitulah yang terjadi pada pasangan ibu bapa ini apabila bayi lelaki mereka yang berusia empat bulan koma dipercayai didera pengasuh sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Burok, Kuala Terengganu pada Rabu lalu (4 Januari).

Menurut laporan Awani, mangsa yang mengalami pendarahan di dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Kejadian disedari bapa mangsa ketika mengambil anaknya

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kejadian disedari bapa bayi berkenaan yang bekerja sebagai pegawai perubatan ketika mengambil anaknya itu di pusat jagaan terbabit.

“Mangsa didapati berada dalam keadaan lemah dan kesakitan lalu dibawa ke hospital.

“Hasil pemeriksaan menunjukkan terdapat darah beku dalam kepala bayi itu dan bapa mangsa membuat laporan polis pada hari sama,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Terengganu semalam (10 Januari).

Bertindak atas laporan, pihak polis telah memanggil pengasuh terbabit untuk membantu siasatan mengenai kejadian tersebut.

Bagaimanapun, pengasuh terbabit menafikan berlakunya penderaan selain memberikan keterangan yang meragukan.

Rakaman CCTV menunjukkan pengasuh dera bayi

Namun ujar Rohaimi, pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek telah memukul bahagian kepala mangsa dengan tangan, menghempas dan mengoncang badan bayi terbabit.

Susulan itu, pihak polis telah menahan tiga wanita tempatan berusia lingkungan 22 hingga 33 tahun yang bekerja sebagai pengasuh di pusat jagaan tersebut pada Isnin lalu (9 Januari).

Difahamkan, bayi terbabit baru sahaja dimasukkan ke pusat jagaan kanak-kanak itu selama tiga hari sebelum kejadian tersebut belaku.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak iaitu kesalahan menganiaya atau mencederakan kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.