
Lelaki Tikam Wanita Di Dobi Layan Diri Dikenakan Hukuman Penjara 7 Tahun & 4 Sebatan
Terdahulu, tular rakaman CCTV di media sosial menunjukkan tertuduh datang dari arah belakang dan menikam seorang wanita di sebuah kedai dobi layan diri pada 30 September yang lalu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada 30 September yang lalu, kecoh di media sosial kejadian seorang wanita ditikam oleh seorang lelaki di sebuah kedai dobi layan diri yang terletak di Kem Sri Pantai, Seberang Takir, Terengganu.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, kelihatan mangsa yang berusia 31 tahun ditikam oleh lelaki tidak dikenali itu yang datang dari arah belakang.
Namun, suspek yang juga penganggur telah berjaya ditahan polis di Kampung Mengabang Telipit, Kuala Nerus jam 3.30 petang pada 1 Oktober yang lalu.
Suspek Dijatuhi Hukuman Penjara Tujuh Tahun & Empat Sebatan
Terbaharu, suspek yang dikenali sebagai Muhammad Faiz Radzali dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalam (10 Oktober).
Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman tersebut selepas dia mengaku bersalah kerana cuba merompak dan menyebabkan kecederaan ke atas wanita itu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara yang dikenakan terhadap tertuduh bermula daripada tarikh dia ditahan iaitu pada 1 Oktober.
Tertuduh tidak diwakili peguam dan pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayi.
Terdahulu, tular rakaman CCTV di media sosial menunjukkan suspek yang berusia 25 tahun datang dari arah belakang dan menikam mangsa dalam kejadian pada 30 September yang lalu.
Dia menikam wanita berkenaan menggunakan senjata tajam yang dipercayai sebilah gunting.
Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan menerima rawatan daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Geramnya tengok.. Bukan kata wanita, lelaki pun tak sempat buat apa-apa bila laju dia datang dari belakang macam ni.. Nampak macam orang tempatan.. Semoga cepat ditangkap.. Seeloknya dipukul dulu sebelum serah kepada polis..pic.twitter.com/9LAbJo7REo https://t.co/2zgqJWZRHd
— Jalal Misai (@jllmisai) September 30, 2023
Baca Artikel Berkaitan: Polis Cekup Lelaki Tikam Wanita Di Dobi Layan Diri