Tidak dinafikan menjadi seorang pemimpin kepada sesebuah parti bukanlah suatu perkara yang mudah.
Bahkan pelbagai perkara dan juga strategi perlu dirangka agar ia mencapai objektif dan matlamat parti yang dipimpin.
Asyraf maklum tak akan bertanding pertahankan jawatan Ketua Pemuda
Baru-baru ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dasuki memaklumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan yang dipikulnya kini.
Memetik laporan Kosmo, perkara itu dimaklumkan oleh beliau semasa Sesi Penggulungan Ucapan Ketua Pemuda di Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, semalam (12 Januari).
Mohon maaf dan mahu ambil tanggungjawab penuh
Ketua pemuda itu turut meminta maaf selain mahu mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan parti berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada November tahun (2022) lalu.
“Untuk kali terakhir berada di pentas ini, saya ingin nyatakan bahawa tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda yang saya pegang selama lima tahun ini dalam pemilihan parti akan datang.
“Saya juga ingin mengambil tanggungjawab penuh terhadap kekalahan UMNO dalam PRU15 yang lalu.
“Saya berharap agar siapa sahaja yang mengemudi sayap Pemuda selepas ini agar terus perjuangkan apa yang kita lakukan selama ini,” jelas Asyraf dalam ucapannya.
Untuk rekod, pada pemilihan UMNO 2018, Asyraf telah berjaya memenangi jawatan sebagai Ketua Pemuda sekaligus menewaskan tiga pencabarnya iaitu Datuk Khairul Azawan Harun, Datuk Shahar Abdullah, serta Datuk Seri Jamal Yunus.