Anwar Ibrahim Bangga Skuad Penyelamat Malaysia Terima Pengiktirafan Dari Turkiye
Menurut Anwar Ibrahim, usaha keras yang ditunjukkan oleh pasukan SAR Malaysia turut mendapat pujian dari Gabenor Gaziantep dan wakil gabenor di Nurdagi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada 6 dan 8 Februari yang lalu, Malaysia telah bertindak untuk menghantar dua kumpulan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye bagi menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) di negara tersebut selepas berlakunya gempa bumi di sana.
Dalam misi tersebut, dua ekor anjing dari unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut diterbangkan bagi mencari mangsa yang masih berada di dalam runtuhan.
Baca artikel berkaitan: 70 Lagi Anggota Smart Bersama Dentie & Frankie Dari Unit K9 Diterbangkan Ke Turkiye Untuk Sertai Misi SAR
Perdana Menteri bangga pasukan SAR negara terima pengiktirafan dari Turkiye
Terbaharu, kemampuan pasukan berkenaan dalam operasi SAR mangsa yang terlibat dalam tragedi gempa bumi berkenaan telah mendapat pengiktirafan dari Turkiye.
Pengiktirafan itu secara tidak langsung membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangganya di atas usaha luar biasa yang ditunjukkan oleh pasukan berkenaan selain sanggup melakukan tugas-tugas kemanusiaan di negara tersebut.
Usaha ditunjukkan turut dapat pujian dari Gabenor & wakil gabenor
Memetik laporan Utusan, Anwar Ibrahim berkata kemampuan serta dedikasi yang luar biasa ditonjolkan oleh pasukan tersebut turut menerima pujian daripada Gabenor Gaziantep serta wakil gabenor di Nurdagi.
“Saya bangga sekali dengan pasukan kita yang telah menunjukkan keupayaan yang luar biasa, pengorbanan yang luar biasa.
“Gabenor dan wakil gabenor di sini (Nurdagi) turut menyatakan bahawa pasukan kita menunjukkan dedikasi yang luar biasa.
“Saya bagi pihak seluruh rakyat ingin mengucapkan penghargaan dan doa kepada Allah, mudah-mudahan beban rakyat di sini diringankan dan kita (Malaysia) akan buat sedaya upaya untuk membantu,” ujarnya selepas membuat lawatan di kem pasukan SAR Malaysia.
Malaysia berjaya kumpul RM30 juta untuk sumbangan bantuan bencana
Sementara itu, Anwar memaklumkan bahawa negara berjaya mengumpulkan sebanyak RM30 juta sumbangan bantuan bencana gemba bumi yang berlaku di Turkiye.
Beliau kemudian dijadualkan untuk bertemu dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi menyampaikan bantuan selain doa serta simpati rakyat Malaysia sebelum berangkat pulang ke Malaysia.