fbpx
Now Reading
Laporan Cadangan Kurangkan Penjawat Awam: Awesome TV Perjelas Ia Hanya Masalah Salah Faham
Awesome tv maklum hanya salah faham

Laporan Cadangan Kurangkan Penjawat Awam: Awesome TV Perjelas Ia Hanya Masalah Salah Faham

Menurut sumber, laporan yang dipetik dari sumber penganalisis luar itu hanya sebagai saranan secara bebas tetapi ia telah disalah tafsir konon ia cadangan dari Kerajaan Perpaduan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (21 Februari), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memaklumkan bahawa mereka akan membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan laporan yang disiarkan oleh sebuah saluran televisyen Awesome TV.

Perkara itu diumumkan selepas MCMC mengadakan perjumpaan bersama pengurusan tertinggi Awesome TV pada 20 Februari yang lalu.

Kertas siasatan akan disiasat mengikut Seksyen 206 AKM 1998 iaitu kegagalan mematuhi syarat lesen dan sebaik sahaja siasatan lengkap ia akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut.

Baca artikel berkaitan: Pandang Serius Aduan Pengguna, MCMC Buka Kertas Siasatan Terhadap Awesome TV

Kandungan laporan ada salah faham

Terbaharu, pihak Awesome TV menyatakan kandungan laporan berita yang dikeluarkan mungkin mempunyai salah faham dari konteksnya.

Menurut sumber stesen berkenaan ketika dihubungi, penonton yang menonton laporan ‘panas’ Berita 7:57 tersebut akan memahami bahawa ia tidak merujuk kepada pendirian bagi pihak kerajaan, lapor Utusan.

“Sesiapa yang tonton slot tersebut pada 15 Februari lalu akan tahu laporan kami memetik dari sumber penganalisis luar sebagai memberi saranan secara bebas sahaja,” ujarnya.

Perkara itu diberitahu untuk merujuk kepada laporan yang dikeluarkan Berita 7:57 pada minggu lalu yang disalah erti oleh orang ramai kononnya ia adalah cadangan dari Kerajaan Perpaduan.

Undang kebimbangan masyarakat

Laporan klip berdurasi 2 minit 36 saat itu yang mengesyor pengurangan penjawat awam itu turut mendatangkan kerisauan masyarakat apabila ia turut dikongsi oleh orang ramai.

Sebelum ini, ketika di Dewan Rakyat Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menyatakan kandungan laporan itu adalah fitnah kepada pihak kerajaan dalam jawapan lisannya.

Kata sumber Awesome TV lagi, pihaknya turut berasa terkejut dengan kenyataan diberikan oleh pemimpin berkenaan dan menyifatkan ia adalah salah faham laporan tersebut.

“Insya-Allah setakat ini semuanya okay dan isu itu sedang ditangani oleh kami serta pihak SKMM kerana ia cuma masalah salah faham berhubung penyampaian berita,” jelasnya.

Dipanggil untuk beri penjelasan kepada MCMC

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi Awesome TV, Mazlan Mahdi mengesahkan saluran televisyen itu dipanggil untuk memberi penjelasan kepada MCMC tapi tidak mahu mengeluarkan sebarang komen.

Awesome TV adalah sebuah saluran televisyen percuma milik Awesome Media Network Sdn.Bhd yang beroperasi di Kuala Lumpur dan mula bersiaran pada tahun 2020.

Bagi slot Berita 7:57 pula ia mula disiarkan pada 1 Februari tahun lepas sebagai pilihan kepada penonton saluran berkenaan yang inginkan kandungan laporan semasa di negara ini.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.