Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan pertuduhan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah kemenangan buat keluarganya.
Menurut Kosmo, Rosmah yang ditemui selepas prosiding kes berkata keputusan mahkamah sedikit sebanyak dapat memulihkan semangat suaminya yang kini sedang menjalani hukuman penjara atas kes SRC International Sdn.Bhd.
“Syukur Alhamdulilah sebab kes yang hari ini adalah satu kemenangan bukan sahaja suami saya tapi juga kepada keluarga kami. Sudah tentu, keputusan ini memulihkan semangat bukan sahaja untuk Datuk (Najib) tapi untuk keluarga kami.”
Datin Seri Rosmah Mansor
Najib bersyukur dengan keputusan mahkamah
Rosmah turut memaklumkan beliau berkesempatan bertemu Najib di mahkamah dan suaminya itu sempat menyatakan rasa syukur terhadap keputusan yang diberikan oleh mahkamah.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan meminda laporan audit 1MDB pada tujuh tahun yang lalu.
Pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh
Hakim Mohamed Zaini Mazlan, membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.
Untuk info, Rosmah masih dalam rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta berhubung projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Pada 1 September 2022, Rosmah dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas dapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah tersebut.