fbpx

“Perintah Arah Najib Jalani Baki Hukuman Di Rumah Wujud, Kenapa Nak Sorok?” – Shafee Abdullah

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa bahawa Titah Adendum tersebut telah dikeluarkan pada hari sama titah pengurangan hukuman dibuat, iaitu 29 Januari lalu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mendakwa terdapat perintah tambahan (Titah Adendum) dalam pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengizinkannya menghabiskan baki hukuman penjara di rumah kediamannya.

Sehubungan itu, Najib telah memohon kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum untuk menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah pada 1 April lalu.

Hari ini (17 April), peguam yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempersoalkan mengapa kerajaan bertindak menyembunyikan Titah Adendum tersebut.

Shafee sewaktu prosiding permohonan berkata terdapat individu yang telah membaca dan ambil maklum akan Titah Adendum yang dikeluarkan oleh YDPA ke-16. Pihaknya juga telah memfailkan afidavit sokongan daripada salah seorang individu berkenaan.

“Kami telah memfailkan afidavit (sokongan) tetapi saya tidak boleh namakan afidavit daripada siapa tetapi beliau telah sahkan. Beliau telah lihat, telah baca (Titah Adendum). (Ada) tandatangan Agong, ada cop mohor Agong.”

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

Media Dilarang Membuat Liputan Semakan Kehakiman Najib

Sewaktu prosiding sama, pihak media telah dilarang daripada membuat liputan kes berkenaan. Menurut Shafee, ini kerana wujudnya ‘isu sensitif’.

Hakim Datuk Amarjeet Singh kemudiannya membenarkan prosiding dijalankan secara fizikal dalam kamar dan meminta semua orang awam termasuk wartawan untuk keluar dari mahkamah, lapor Buletin TV3.

Permohonan semakan kehakiman yang sepatutnya berlangsung pada 4 April telah ditangguhkan ke hari ini (17 April) apabila Shafee Abdullah menyatakan terdapat ‘saksi kritikal’ yang akan menyokong permohonan Najib.

Katanya lagi, individu tersebut tidak boleh didedahkan identitinya kerana afidavit sokongan saksi hanya boleh ditandatanganinya setelah pulang dari Mekah.

Najib Dakwa Perintah Tambahan Izinkan Hukuman Di Rumah

Berdasarkan kepada afidavit yang difailkan Najib, dia mendakwa telah menerima maklumat sahih berkenaan Titah Adendum pada 12 Februari lalu.

Baca Artikel Berkaitan: Saifuddin Tak Tahu Wujud Titah Tambahan Najib Boleh Sambung Jalani Hukuman Penjara Di Rumah

Untuk makluman, Najib pada 1 September 2022 memfailkan petisyen agar diberi pengampunan penuh atas sabitan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. sebanyak RM42 juta.

Baca Artikel Berkaitan: Hukuman Penjara Najib Dikurangkan Kepada 6 Tahun, Bebas Pada Ogos 2028 – Lembaga Pengampunan

Najib Dakwa Titah Adendum Dikeluarkan pada 29 Januari

Pemohon memaklumkan bahawa YDPA ke-16 telah mengeluarkan ‘titah utama’ pada 29 Januari lalu agar hukuman penjara Najib dikurangkan kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.

Najib turut mendakwa bahawa Titah Adendum tersebut telah dikeluarkan pada tarikh sama titah utama, tetapi tidak didedahkan oleh mana-mana responden yang dinamakannya sehingga kini.

Tujuh responden yang disenaraikannya ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia.

Pada 14 Februari, satu surat bagi memohon pengesahan berhubung Titah Adendum itu telah dihantar kepada Peguam Negara serta turut disalinkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Salinan asal titah utama turut dimohon dari Penjara Kajang oleh peguam Najib, tetapi tidak berjawab sehingga kini.

Kegagalan kesemua responden untuk menjawab suratnya atau mengesahkan kewujudan Titah Adendum tersebut didakwa oleh Najib sebagai perkara yang ‘tidak rasional, tidak munasabah, menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan’.

Zahid Hamidi ‘Saksi Kritikal’ Ikrar Afidavit

Dalam pada itu, Berita Harian melaporkan Ahmad Zahid telah disahkan sebagai ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum tersebut.

Dalam afidavit bertarikh 9 April, Ahmad Zahid mendakwa dia mengetahui tentang kewujudan titah itu daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Ahmad Zahid, Tengku Zafrul ketika ditemui di rumahnya pada 30 Januari lalu, telah menunjukkan Titah Adendum kepadanya menerusi gambar yang diimbas sendiri pada telefon bimbit.

“Apabila saya menyoal lebih lanjut, beliau (Tengku Zafrul) menunjukkan kepada saya salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

“Kandungan Titah Adendum secara jelas menyatakan bahawa pemohon (Najib) dibenarkan untuk menjalani hukumannya yang dikurangkan, kepada tahanan rumah dan bukannya secara pemenjaraan seperti sekarang di Penjara Kajang. Saya juga melihat Titah Adendum itu bertarikh 29 Januari 2024 yang mempunyai meterai dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong ke-16. Saya seterusnya mengesahkan bahawa Titah Adendum itu adalah tulen dan sebenarnya adalah Titah Prerogatif Diraja sama seperti Titah Utama,” kata Ahmad Zahid.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.