KP Penjara Nafi Najib Dapat Layanan Istimewa [Video]
Menurut Datuk Nordin Muhammad, tindakan tegas akan diambil sekiranya pihaknya mengesan ada pegawai penjara yang melanggar peraturan dengan memberi layanan istimewa kepada banduan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (29 Mac) kecoh di media sosial apabila seorang penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima layanan ‘sangat istimewa’ di penjara.
Wan Ji yang yang baru sahaja selesai menjalani hukuman penjara di Kajang berhubung sabitan kes hasutan yang dikaitkan dengan Sultan Selangor pada 2014 mendakwa bekas Ahli Parlimen Pekan itu ditempatkan di satu blok ‘istimewa’ selain diberi pengecualian untuk memakai pakaian biasa berbanding baju banduan.
Kata Wan Ji kepada Malaysiakini, dia sendiri pernah melihat kelibat Najib ketika menjalani hukumannya.
“Kalau ada orang kata Najib tiada dalam penjara, itu tidak betul. Memang dia di Penjara Kajang, hari-hari dia ada di situ. Kecuali kalau dia ada urusan luar seperti perbicaraan di mahkamah.
“Saya biasa nampak dia tak pakai baju banduan macam kita yang lain. Dia pakai biasa sahaja, macam duduk di rumah.
“Bukan pakai sut, tak adalah. Maksudnya dia pakai macam duduk di rumah, saya di situ pakai baju banduan.
“Memang dia istimewa sangat. Bukan (sekadar) istimewa, tapi istimewa sangat,” kata Wan Ji.
Perkara itu yang dikongsikan MalaysiaKini di Twitter kemudiannya tular sehingga menjadi perdebatan hangat.
Tiada banduan dapat layanan istimewa – Ketua Pengarah Jabatan Penjara
Terbaharu Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhammad menafikan dakwaan wujudnya layanan istimewa terhadap mana-mana individu yang dipenjara termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Jelas beliau, semua banduan dilayan sama rata mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan.
“Sesiapa sahaja yang menerima hukuman dilayan sama mengikut peraturan ditetapkan.
“Ini termasuklah kepada Najib yang sedang menerima hukuman di Penjara Kajang, beliau tetap tertakluk kepada peraturan dan Akta Penjara 1995,” kata Nordin dipetik Sinar Harian.
Pegawai penjara beri layanan istimewa akan dikenakan tindakan tegas
Menurut Nordin lagi, tindakan tegas akan diambil sekiranya pihaknya mengesan ada pegawai penjara yang melanggar peraturan dengan memberi layanan istimewa kepada banduan.
“Melanggar peraturan ditetapkan adalah perkara yang sama sekali tidak dapat diterima, sekiranya dikesan wujud perbuatan sedemikian, maka tindakan segera diambil.
“Soal ini kami di pihak penjara sama sekali tidak akan berkompromi, asas undang-undang kami sentiasa junjung tinggi,” katanya lagi.