Motosikal & Skuter Terbakar Di KLCC : Lelaki Disyaki Cetus Kebakaran Ditahan
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Delhan Yahaya, lelaki berkenaan yang berusia 34 tahun telah ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi tidak sampai beberapa jam selepas membuka kertas siasatan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Semalam rakyat Malaysia digemparkan dengan berita kebakaran 13 buah motosikal dan empat skuter elektrik di parkir pusat beli belah, Suria KLCC.
Di dalam insiden tersebut, sembilan motosikal dan empat skuter hangus terbakar manakala empat lagi rosak teruk akibat kejadian itu.
Lelaki warga tempatan ditahan bantu siasatan, motosikal dan barang peribadi dirampas
Terbaharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan dalam kes khianat dengan api ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Delhan Yahaya, lelaki berkenaan yang berusia 34 tahun telah ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi tidak sampai beberapa jam selepas membuka kertas siasatan.
Polis dalam masa sama turut merampas sebuah motosikal jenis Honda RS, serangkai kunci motosikal, topi keledar, sehelai baju, seluar, sarung lengan, beg, jam tangan dan pemetik api.
Jelas beliau lagi suspek telah direman selama enam hari mulai hari ini, 14 April hingga 19 April.
Motif masih dalam siasatan, polis terima 10 laporan
“Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak Polis. Setakat ini, pihak Polis telah menerima sebanyak (10) laporan polis daripada pihak yang terlibat dalam kejadian kebakaran tersebut.
“Pihak Polis menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. Tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” kata Noor Delhan lagi.
Kes disiasat di bawah 435 Kanun Keseksaan.
Suspek ditahan kerana berada berdekatan lokasi sebelum kebakaran berlaku
Dalam pada itu Noor Delhan berkata, suspek ditahan selepas dikesan berada berhampiran lokasi kejadian sebelum kebakaran berlaku.
Ianya berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian, lapor Harian Metro.