Baru-baru ini, tular satu video di media sosial yang menunjukkan dua orang lelaki dipercayai warga Singapura bergaduh dengan seorang penghantar makanan di sebuah stesen minyak di sekitar Iskandar Puteri, Johor Bahru malam semalam (20 Jun).
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman TikTok akaun @matkibol, kedua-dua lelaki berkenaan dikatakan berang selepas ditegur oleh penghantar makanan itu ketika cuba mengisi minyak ke dalam tong.
Bagaimanapun semakan kami mendapati video berdurasi satu minit 40 saat itu yang mendapat jumlah tontonan melebihi 800,000 itu dipercayai telah dipadam.
Namun, video tersebut sempat dimuat turun dan dikongsikan di laman Facebook Melaka Hari Ini sekaligus mendapat perhatian ramai.
Dua lelaki dipercayai warga asing mengamuk dan serang seorang penghantar makanan
Berdasarkan video tersebut, kelihatan dua lelaki terbabit mengamuk dan cuba menyerang penghantar makanan tersebut.
Pada masa sama, kelihatan juga dua anggota polis bantuan berada di lokasi kejadian dan cuba menenangkan keadaan.
Salah seorang lelaki terbabit juga bertindak membuka bonet kereta jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) dan mengeluarkan sesuatu seperti pengunci stereng dipercayai cuba melakukan provokasi kepada rider berkenaan.
Penghantar makan cuba diserang sekali lagi
Anggota polis bantuan berkenaan kemudiannya meminta kad pengenalan rider terbabit sebelum kedua-dua lelaki tersebut cuba menyerang penghantar makanan itu sekali lagi.
Bagaimanapun, setakat artikel ini ditulis, tiada sebarang kenyataan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kejadian ini, selain Kosmo juga sedang mendapatkan situasi lanjut dari pihak berkuasa.