fbpx

Bekas Tentera Didenda RM20,000 Kerana Tembak Kucing Jiran Di Melaka

Berdasarkan kertas pertuduhan, bekas tentera itu didapati melakukan penganiayaan terhadap haiwan peliharaan milik jirannya yang dikenali sebagai Amran Majid menggunakan senapang angin.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kucing merupakan antara haiwan peliharaan yang popular di Malaysia. Sifatnya yang manja dan comel mudah membuatkan manusia tertawan dengan personaliti mereka.

Namun, tidak semua individu yang suka dengan kucing. Ada yang berasa geli dengan haiwan comel itu dan apa yang lebih teruk, ada sesetengah individu yang sanggup membunuh haiwan tersebut hanya kerana tidak sukakannya.

Lelaki Tembak Kucing Dengan Senapang Angin

Kerana tidak berpuas hati dengan kucing betina milik jirannya, seorang lelaki berusia 62 tahun berserta anaknya yang berumur 27 tahun dikatakan telah menembak kucing itu menggunakan senapang angin.

Tindakan tidak berperikemanusiaan dua beranak itu menyebabkan kucing peliharaan jiran mereka itu disahkan mati akibat muntah darah dan luka di bahagian belakang badan.

Ekoran daripada kejadian itu, kedua-dua beranak ditahan kerana menyebabkan kematian seekor kucing pada 21 Jun tahun lalu.

Bekas Tentera Di Denda RM20,000, Mohon Hukuman Diringankan

Hakim Mahkamah Sesyen Melaka, Darmafikri Abu Adam hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM20,000 kepada Aziz Tambi setelah dia mengaku bersalah di atas tindakannya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati melakukan penganiayaan kepada haiwan peliharaan milik jirannya yang dikenali sebagai Amran Majid menggunakan senapang angin.

Kejadian menyayat hati itu berlaku pada jam 2.30 petang di sebuah rumah di Lorong Mat Lajis, Bukit Rambai, Melaka.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang membawa hukuman denda minimum RM20,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Pada masa yang sama, peguam tertuduh, Ishak Mohd. Kari merayu agar hukuman itu diringankan dengan alasan anak guamnya merupakan seorang bekas tentera yang telah banyak berjasa kepada negara selain telah lama bersabar dengan karenah jirannya.

Timbalan Pendakwaraya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin bagaimanapun memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal untuk dijadikan sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman denda sebanyak RM20,000 atau penjara enam bulan jika tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: Denda RM50,000, Penjara 2 Tahun Kerana Abaikan 5 Kucing Peliharaan Hingga Mati Kelaparan

Baca Artikel Berkaitan: “Ada 11 Pakar Di Sana..” – Isu Letak Ular Dekat Dengan Kucing, Ini Penjelasan Aaron Aziz – [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.