Imigresen Siasat Dakwaan Menteri Buat Kecoh Di KLIA
Sebuah portal sebelum ini mendakwa seorang kenamaan telah membuat kecoh di KLIA dengan menuntut JIM untuk membebaskan seorang pelawat dari China yang dikenakan tindakan Notis Tolak Kemasukan (NTL).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan berlakunya kekecohan di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan seorang menteri pada Khamis, 29 Jun.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan secara serta-merta selepas sebuah portal membuat laporan berhubung perkara itu.
Jelas beliau, portal berita dalam talian itu mendakwa seorang kenamaan telah membuat kecoh di KLIA dengan menuntut JIM untuk membebaskan seorang pelawat dari China yang dikenakan tindakan Notis Tolak Kemasukan (NTL).
“Jabatan ini telah mengambil tindakan serta-merta memulakan siasatan ke atas dakwaan kejadian yang dilaporkan dalam berita tersebut. Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh merangkumi semua aspek yang berkaitan.”
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh
Sehubungan itu beliau memohon orang ramai untuk memberikan ruang agar siasatan dapat dijalankan dengan telus dan tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi yang boleh mengganggu siasatan.
MAKLUM BALAS LAPORAN BERITA BERKENAAN INSIDEN KEKECOHAN DI KLIA MELIBATKAN ORANG KENAMAAN YANG MENUNTUT IMIGRESEN BEBASKAN PELAWAT DARI CHINA DARI TINDAKAN NTL#MalaysiaMADANI#KDNMADANI#imigresen#jim
Terdahulu sebuah portal dalam talian melaporkan seorang menteri telah membuat kecoh di dewan ketibaan antarabangsa di KLIA pada Khamis (29 Jun) bagi ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang tidak dibenarkan memasuki negara ini sebaik tiba di lapangan terbang itu.
Bukan itu sahaja, dia juga didakwa masuk ke kawasan itu tanpa memohon pas keselamatan selain cuba menggunakan kuasanya sebagai menteri apabila tindakannya cuba dihalang.