fbpx

Cemburu Rapat Dengan Bos, Lelaki Warga Myanmar Tikam Rakan Hingga Mati

Menurut isteri mangsa, berlaku pertengkaran mulut antara suspek dan mangsa sebelum pekebun itu bertindak menikam rakan senegaranya menggunakan gunting pemotong dahan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang lelaki warganegara Myanmar maut apabila ditikam rakan senegaranya di sebuah rumah kongsi di Jalan Renggam-Kluang, Johor.

Apa yang mengejutkan suspek bertindak sedemikian hanya kerana cemburu dengan rakan sekerjanya itu yang rapat dengan majikan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila suspek menikam rakannya menggunakan gunting pemotong dahan dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam pada 7 Julai yang lalu.

Berlaku Pergelutan, Tidak Puas Hati Dengan Rakan

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, pihaknya menerima panggilan daripada Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) berhubung kematian mangsa pada jam 12.55 tengah malam.

Hasil siasatan, pihak polis telah mengenal pasti lokasi kejadian iaitu sebuah rumah kongsi yang terletak di sebuah ladang dengan keluasan lapan hektar.

Bermula Dari Pertengkaran

Menurut Bahrin, motif kejadian dipercayai akibat rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa sehingga berlaku pergelutan.

“Motif kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati mangsa sentiasa rapat dengan majikan,” ujar beliau.

Malah, menurut isteri mangsa, suspek dan mangsa dikatakan bertengkar mulut sebelum pekebun itu menikam rakan sekerjanya menggunakan gunting pemotong dahan.

“Suspek kemudian menikam mangsa dengan menggunakan gunting pemotong dahan sehingga cedera parah,” kata beliau.

Mangsa kemudiannya di bawa ke HEBHK bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.

Tahan Dua Orang Warga Asing, Rampas Dua Telefon Bimbit

Susulan daripada kejadian ini, anggota polis daripada Bahagian Jenayah IPD Kluang telah menahan seorang lelaki warga asing jam 5 petang pada 8 Julai yang lalu.

Malah, pada hari yang sama, pihak polis turut menahan seorang lagi warga asing dalam lingkungan 40-an di sebuah ladang pisang di Ladang Bukit Benut, Johor pada jam 9.00 malam.

“Turut dirampas dua telefon bimbit daripada kedua-dua suspek berkenaan. Pihak IPD Kluang masih lagi mengesan seorang lagi suspek utama yang masih bebas bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini agar menyalurkan info menerusi talian 07-7784222 atau ‘direct line’ 07-7766822 atau 014-3656822.

Foto: FB Polis Daerah Kluang

Baca Artikel Berkaitan: Tular Video Lelaki Di India Hempap Batu & Tikam Gadis 16 Tahun Lebih 20 Kali Hingga Maut

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.