fbpx
Now Reading
Tanah Mendap Di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak, Tindakan Baikpulih Segera Diambil [Video]

Tanah Mendap Di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak, Tindakan Baikpulih Segera Diambil [Video]

Menerusi kemas kini yang dimuat naik oleh Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman di laman Facebook mendapati kerja-kerja pembaikan laluan tersebut sedang dilakukan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Malam semalam (25 Julai), tular di media sosial beberapa gambar yang memaparkan keadaan tanah mendap yang berlaku di KM66.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak, Bentong, Pahang.

Menerusi perkongsian beberapa gambar yang diambil oleh orang awam di tempat kejadian, kelihatan lubang besar atau ‘sink hole’ berada di tengah-tengah lebuhraya berkenaan.

Alexander Nanta Linggi arah semua agensi dan syarikat ambil tindakan segera

Susulan itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah mengarahkan semua agensi dan syarikat konsesi terlibat untuk mengambil tindakan segara terhadap kes berkenaan bagi memastikan keselamatan pengguna laluan tersebut terjamin.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Alexander memaklumkan kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 8.34 malam dan tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Guna laluan alternatif buat sementara waktu

Menurutnya, status terkini semua lorong arah timur dan barat ditutup dan pengguna menghala ke arah Kuantan atau Karak dinasihatkan keluar di Persimpangan Bentong Barat dan masuk semula ke lebuh raya di Persimpangan Bentong Timur.

“Pengguna yang ingin menggunakan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR) untuk ke Kota Bharu dibenarkan menggunakan Persimpangan CSR.

“Manakala, pengguna ke arah Kuala Lumpur pula dinasihati keluar di Persimpangan Bentong Timur dan masuk semula ke lebuhraya di Persimpangan Bentong Barat,” tulisnya di kapsyen.

Menurutnya lagi, keadaan trafik terkawal dan beliau telah mengarahkan jabatan dan agensi terlibat agar memberi kemas kini mengenai kejadian itu kepadanya dari semasa ke semasa.

Kerja baikpulih sedang dilakukan, dijangka boleh diguna semula hari ini (26 Julai)

Terkini, menerusi kemas kini yang dimuat naik oleh Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman di laman Facebook mendapati kerja-kerja pembaikan laluan tersebut sedang dilakukan.

“Kerja-kerja pembaikkan hampir siap! Insya-Allah kalau ujian kekuatan OK dan selamat, tengah hari sudah boleh guna semula laluan lebuhraya Karak ini,” tulisnya.

Dalam pada itu, Alexander juga dalam satu lagi hantaran video hari ini memaklumkan beliau telah turun padang untuk melihat sendiri situasi lebuh raya tersebut selain memantau kerja-kerja baikpulih jalan yang sedang dilakukan.

Lebuh raya buka semula pada jam 7 malam ini

Kemas kini terkini, Alexander memaklumkan Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak di laluan berkenaan akan dibuka untuk pengguna seperti biasa bermula jam 7.00 malam ini (26 Julai), lapor NST.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.