fbpx
Now Reading
Lelaki ‘Terkurung’ Dalam Rumah Kerana Tak Mampu Bayar Sewa Ditemui Mati

Lelaki ‘Terkurung’ Dalam Rumah Kerana Tak Mampu Bayar Sewa Ditemui Mati

Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa pula sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap tuan rumah kerana mendakwa pemandu e-hailing itu mati kerana kelaparan selepas dikurung.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang lelaki berusia 40-an ditemui mati di sebuah pangsapuri yang disewanya di Sunway Damansara, Petaling Jaya pada 23 Julai lalu selepas jiran mengadu terdapat bau busuk dari unit kediamaan tersebut.

Difahamkan, tuan rumah bertindak mengunci kediaman berkenaan selepas mangsa gagal membayar sewa bulanan RM1,000 selama tiga bulan sejak Mac lalu.

Polis sahkan kematian akibat serangan jantung

Polis kemudiannya mengesahkan kematian lelaki berkenaan yang juga seorang pemandu e-hailing di rumah sewa yang sudah dihuninya sejak 18 tahun lalu adalah kerana serangan jantung.

Menurut Majoriti yang memetik Sin Chew Daily, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah terhadap kes tersebut selain mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.

“Hasil daripada laporan bedah siasat turut menyatakan punca kematian akibat daripada serangan jantung,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun siasatan masih dijalankan dan menggesa individu-individu yang mempunyai maklumat agar tampil menghubungi polis.

Keluarga dakwa mangsa mati kelaparan, akan pertimbang tindakan undang-undang

Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa dari Johor pula mendakwa pemandu e-hailing itu meninggal dunia kerana tuan rumah mengurungnya sehingga mati kelaparan.

Susulan itu, keluarga mangsa sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap tuan rumah tersebut.

Ahli keluarga turut mendakwa mangsa tidak mempunyai duit untuk menambah nilai telefon bimbitnya justeru tidak dapat meminta pertolongan dari luar.

Tuan rumah mengaku kunci kediaman dengan rantai, tak tahu mangsa ada di dalam

Sementara itu, tuan rumah mengaku telah mengunci kediaman itu pada 2 Julai lalu tetapi mendakwa dia tidak tahu mangsa berada di dalam rumah berkenaan.

“Saya fikir dia telah berpindah secara senyap-senyap, jadi saya mengunci pintu rumah dengan rantai,” katanya.

Jelasnya lagi, mangsa telah menjadi penyewa selama 18 tahun dan sentiasa membayar sewa pada masa yang ditetapkan.

Bagaimanapun, pada bulan Mac lepas mangsa menghubungi tuan rumah untuk memaklumkan dia mengalami kemalangan dan akan membayar sewa kemudiannya.

“Itu kali terakhir kami berhubung dan saya hanya hanya mengetahui mangsa meninggal dunia selepas mendapat panggilan daripada polis,” kata tuan rumah itu lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.