Hari ini (17 Ogos), Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah mendapatkan sementara pasport miliknya untuk ke Singapura.
Difahamkan, Rosmah sebelum ini membuat permohonan tersebut untuk melawat anak perempuannya Nooryana Najwa Najib di republik itu yang sedang sarat mengandung dan dijangka akan bersalin pada akhir bulan ini.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhrariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Rosmah selaku pemohon.
Peguam mohon pasport Rosmah dikembalikan untuk melawat anak
Sebelum ini, peguam yang mewakili Rosmah, Datuk Jagjit Singh memohon pasport itu bagi membolehkan anak guamnya ke Singapura bermula esok hingga 23 Ogos, 26 Ogos hingga 6 September dan 9 September hingga 31 Oktober ini.
“Nooryana Najwa (anak sulung Rosmah) akan melahirkan anak ketiga dalam masa terdekat. Difahamkan pendakwaan tidak membantah permohonan ini,” kata Jagjit dipetik Kosmo.
Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn yang mendengar makluman Jagjit kemudiannya mengesahkan permohonan Rosmah dan tidak membantah permohonan tersebut.
Rosmah buat permohonan kali keempat menerusi notis usul pada Jumaat lalu
Terdahulu, media melaporkan Rosmah membuat permohonan untuk mendapatkan pasport bagi melawat anak sulungnya, Nooryana Najwa Najib di Singapura yang dijangka bersalin pada akhir bulan ini.
Permohonan kali keempat itu dibuat Rosmah, 72, menerusi notis usul difailkan Tetuan Akberdin & Co. di Mahkamah Rayuan pada 11 Ogos lalu.
Sebagai rekod, Rosmah sebelum ini pernah membuat permohonan sama pada 15 Oktober 2021, 21 Mac 2023 dan 15 Jun 2023.